Sebagai YB muda, apa cabaran dihadapi?

Saya melihat sebagai YB muda sebenarnya ada banyak kelebihan, sudah tentu dari segi stamina dan kekuatan itu paling utama.

Di samping itu, orang muda mempunyai sikap berlumba-lumba untuk tahu dan belajar perkara baharu.

Bagaimanapun, tidak dinafikan dari sudut lain, ada perlu saya tambah baik iaitu berinteraksi dengan pegawai-pegawai kerajaan seperti pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian serta pelbagai lagi agensi dan jabatan kerajaan.

Saya menganggap diri saya sebagai anak-anak yang perlu diberi tunjuk ajar oleh pegawai dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan di Pontian kerana pastinya mereka lebih berpengalaman.

Di Dun Pulai Sebatang juga tidak kurang mencabar, anak muda di sini mahukan lebih banyak peluang pekerjaan dan pendidikan.

Mungkin ini idea agak besar untuk saya laksana di mana sebuah industri perlu dibawa ke Pulai Sebatang.

Jadi, orang muda tak perlu berhijrah dan boleh bekerja di sini.

Satu lagi soal pendidikan bukan setakat kolej kemahiran, tetapi cabaran tersebar mahu wujudkan sebuah universiti di sini suatu masa nanti, tetapi semua perlukan perancangan rapi dan sokongan semua pihak.

Adakah YB bersedia dengan cabaran yang bakal ditempuh?

Mahu tidak mahu saya perlu terus melangkah sebagai ahli politik selepas terlibat dalam bidang ini. Sudah pasti saya berdepan pelbagai cabaran besar dan hebat selepas ini.

Dari segi persediaan, sudah tentu saya perlukan sokongan dari ketua-ketua kampung, ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), ahli-ahli majlis, pegawai dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Sebagai contoh pembangunan di kampung, tulang belakangnya tidak lain ialah ketua kampung.

Ketua kampung memainkan peranan cukup penting membangunkan kampung, selesaikan masalah di kampung dan menjadi agen penyatuan bagi penduduk.

Oleh itu saya perlukan sokongan dan kerjasama dari ketua kampung.

Apa pandangan YB tentang kuasa orang muda yang berjaya membuat perubahan dalam kepimpinan kerajaan Malaysia amnya dan Johor khususnya?

Saya melihat pengaruh undi anak muda sebagai faktor tersebar selain faktor Tun Mahathir Mohamad dan tsunami Melayu.

Bila sahaja tarikh pilihan raya diumumkan pada hari Rabu, satu kebimbangan wujud dalam kalangan ahli politik mengenai undi orang muda.

Tetapi saya lihat orang muda di Malaysia begitu bersemangat di mana banyak gerakan dan hastag diperkenalkan di media sosial untuk menggalakkan orang muda keluar mengundi.

Situasi di negara Amerika Syarikat di mana orang muda tidak keluar undi tidak berlaku di sini.

Dianggarkan 14 juta rakyat Malaysia layak mengundi di mana sebahagian daripadanya merupakan anak muda.

Begitu juga di Johor, 1.8 juta layak mengundi di mana 40 peratus daripadanya merupakan anak muda.

Pakatan Harapan melihat perkara ini cukup penting dalam tawaran manifesto di mana kita fokus tawaran bagi anak-anak muda sebagai contoh mansuhkan lesen peniaga kecil, tawaran kursus kahwin, penghapusan kuota menegak pemilikan rumah mampu milik dan banyak lagi.

Ramai mengetahui Y anak calon Pas. Bagaimana hubungan Yb dengan ayah dan keluarga sekarang?

Sebenarnya jika hendak cungkil kisah ayah dan saya sebenarnya sangat menarik.

Ayah, Cheman Yusoh, 63, calon Pas di Dun Sungai Balang Muar menyokong karier politik saya walaupun kami berlainan parti.

Sebagai seorang ayah, sudah tentu dia mahu anaknya mengikut jejak langkah, lebih-lebih lagi saya merupakan anak sulung dari tujuh beradik.

Sebenarnya sebelum penamaan calon, saya beberapa kali pulang ke Sungai Balang bertemu ayah. Saya berbincang dengan ayah mengenai keputusan bertanding atas tiket Amanah di Pulai Sebatang, Pontian.

Ayah beri saya lampu hijau dan pesan supaya saya buat pilihan terbaik, paling penting sentiasa martabatkan Islam.

Ayah seorang yang terbuka kerana perbezaan saya dan dia hanya politik, tetapi matlamat kami berjuang untuk Islam. Saya akui lebih selesa dengan Amanah kini.

Ada juga pengalaman mencuit hati antara saya dan ayah sewaktu kempen PRU14 lalu, di mana sewaktu saya pulang ke Sungai Balang ketika itu saya telah meminjam baju ayah, ayah cakap pulang semula lepas kempen nanti.

Ayah juga mentor yang baik, sebab selalu tanya saya hal kempen dan soal penamaan calon, maklumlah saya baharu pertama kali bertanding.

Bila ayah tahu saya menang di Dun Pulai Sebatang,  ayah sebak dan ibu beritahu hajat ayat untuk melihat anaknya meneruskan kerjaya politiknya sudah tercapai.

Keesokan harinya saya pulang ke Sungai Balang dan ada sedikit kenduri kesyukuran bersama keluarga terdekat sahaja.

Sehingga hari ini hubungan saya dengan keluarga, saudara mara dan rakan-rakan Sungai Balang masih baik dan saya masih berhubung dengan mereka di sana.

Ada kontroversi mendakwa di Johor terdapat dua pasukan wakil rakyat Pakatan Harapan iaitu pasukan Osman dan pasukan Salahuddin. Osman berjaya menjadi Menteri Besar, namun ada yang mahukan Salahuddin menjadi MB. Apa pendapat Yb tentang isu ini?

Bagi saya, kontroversi ini hanyalah sekadar persepsi rakyat sahaja. Berkenaan dua pasukan ini sebenarnya ia tidak wujud. Bila pelantikan Menteri Besar itu dibuat timbul persepsi sebegini.

Ada mahukan Datuk Osman Sapian jadi MB dan tidak kurang juga ada mahukan Salahuddin jadi MB.

Jika dilihat tiada kenyataan dikeluarkan di peringkat kepimpinan parti komponen Pakatan Harapan yang keluarkan kenyataan menyokong samada Datuk Osman Sapian mahukan Salahuddin Ayub.

Saya sendiri sebagai Ketua Pemuda Amanah juga tidak keluarkan sebarang kenyataan berhubung isu ini dan sudah pasti kami menyerahkan keputusan dibuat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Saya juga berbesar hati dapat bekerja di bawah Datuk Osman Sapian kerana beliau terbuka dan berjiwa besar.

Apa harapan sebagai Adun muda yang dipilih berkhidmat kepada rakyat?

Saya melihat perkataan YB itu sebagai Yang Berkhidmat dan Yang Bekerja. Saya harap dapat bawa perubahan di Dun Pulai Sebatang.

Sokongan semua pihak saya perlukan. Terima kasih di atas kepercayaan diberikan kerana memilih saya sebagai Adun Pulai Sebatang pada PRU14 lalu.

Teruskan memberi sokongan dan kerjasama kepada saya.