PERAK suatu ketika dahulu berhadapan suasana ketidaktentuan politik apabila pada tahun 2008 kerajaan bertukar dari Pakatan Rakyat kepada BN. Namun, bertitik tolak dari situ, kerajaan negeri yang diterajui BN berjaya mengembalikan kepercayaan rakyat untuk meneruskan pentadbiran apabila menang PRU13.

Ikuti wawancara eksklusif Sinar Harian bersama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang disertai Ketua Pengarang Sinar Harian, Norden Mohamed; Penolong Pengarang Berita, Najwa Mohd Ghazali; Ketua Wartawan Edisi Perak, Saifullah Ahmad dan Penolong Ketua Wartawan Edisi Perak, Normawati Adnan di kediaman beliau, baru-baru ini.  

Beliau bercerita mengenai pembangunan Perak, perancangan yang dibuat dan keadaan politik di negeri ini.

Datuk Seri, jika diimbas pada PRU12 lalu, Perak memberi satu imej yang buruk seolah-olah merampas pentadbiran daripada Pakatan Rakyat. Ia menimbulkan persepsi pelbagai ketika itu. Bagaimanakah persepsi itu sekarang?

ZAMBRY: Secara keseluruhannya tentunya ada perkembangan-perkembangan sama ada yang baik atau sebaliknya bergantung kepada siapa yang kita bertanya.

Sesiapa pun yang datang ke negeri Perak dapat melihat sesuatu yang lebih positif. Yang pertama suasana seperti dulu sudah tidak ada.

Yang keduanya, kemajuan yang telah ada dalam negeri Perak sejak tahun 2009 hinggalah sekarang dapat dibuktikan ia menjadi salah satu testimoni kepada sekalian rakyat jelata.

Yang ketiganya, selepas PRU13, telah menjadi juga satu testimoni penerimaan rakyat dan meskipun pada waktu itu dibahaskan dukungan majoriti atau tidak tetapi masih lagi BN memiliki sejumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Apa kelainan yang Datuk Seri bawakan?

ZAMBRY: Sewaktu memimpin negeri Perak saya mengambil pendekatan sedikit berbeza iaitu membuka ruang kepada 'political engagement' lebih sihat termasuk mewujudkan konsep-konsep by partisan iaitu jawatankuasa-jawatankuasa pelbagai parti dan juga perbahasan dalam Dun yang saya anjurkan menjadi lebih sihat.  

Saya juga melihat pertumbuhan ekonomi yang ada dalam negeri Perak sentiasa menunjukkan perkembangan yang agak positif dan kesemuanya ini memberikan indikasi yang baik terhadap negeri Perak.  Alhamdulillah saya bersyukur, secara keseluruhannya saya melihat perkembangan itu sangat positif.

Ketika ini kita dapat lihat tahap ekonomi lembap. Apakah ia memberi kesan juga kepada negeri Perak?

ZAMBRY: Kita sedar apa masalah yang kita hadapi hasil daripada kedudukan ekonomi yang berlaku di sekeliling kita sama ada ekonomi dunia mahupun di peringkat kebangsaan.

Langkah-langkah itu perlu diterjemahkan dalam konteks kita, sebab itulah antara lain dalam usaha kita menangani masalah ekonomi yang lembap dan kos sara hidup tinggi, kita lebih mengambil pendekatan-pendekatan yang bersifat proaktif dan kreatif.

Sebagai contoh memperkenalkan  Kedai Bergerak 1 Amanjaya (KB1AJ) untuk menjual barang-barang keperluan asas melalui lori-lori yang bergerak ke tempat-tempat atau kawasan memerlukan. Harga dijual bukan sahaja mengikut harga kilang tetapi lebih murah dari harga kilang.

Bagaimana boleh jual harga lebih rendah dari harga kilang?

ZAMBRY:  Kita minta wakil rakyat di kawasan berkenaan mensubsidi lagi hasil daripada barangan yang dibeli. Ia menjadikan dua kali lebih murah dari pasaran. Ini membolehkan rakyat di kawasan di luar bandar atau kawasan yang memerlukan perhatian di bandar membeli barangan keperluan. Satu lagi pendekatan yang diperkenalkan kerajaan negeri adalah kotak makanan.

Ia diberikan kepada golongan sasar sebagai pertolongan segera bagi mereka yang memerlukan.

Ini merupakan program yang cukup popular dalam kalangan rakyat sejak lima tahun lalu. Dalam hal-hal berkaitan dengan pemilikan rumah, rumah kos rendah dan rumah mampu milik menjadi perhatian kita dalam erti kata yang lain, ketika mana kita bercakap soal ekonomi yang lembap, tetapi alhamdulillah saya ingin sebutkan di sini dari segi pertumbuhan di negeri Perak terus berkembang dengan positif dan ini memberikan kesan atau indikasi terbaik bahawa dari segi pengurusan ekonomi secara keseluruhannya masih berjalan dengan baik di negeri Perak.

Dari segi pelancongan, sudahkah produk-produk di Perak dioptimumkan atau digunakan sepenuhnya?

ZAMBRY: Bidang pelancongan sebenarnya merupakan satu potensi yang sangat besar untuk negeri Perak malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita telah memperbanyakkan produk pelancongan, tempat-tempat pelancongan, jenis-jenis pelancongan yang ada umpamanya culinary tourism, ecotourism kerana negeri Perak mempunyai kekayaan yang hebat dari segi sumber-sumber yang boleh menjadikan satu tarikan pelancongan. Jadi kita telah membentuk konsep ini.

Alhamdulillah, kita mempunyai kawasan warisan yang cantik seperti di Lenggong umpamanya yang diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco. Kita juga mempunyai geopark yang menjadi tumpuan. Kita juga ada kawasan gunung ganang yang boleh menjadi lokasi aktiviti sukan ekstrem. Ini menjadikan negeri Perak boleh menjadi satu tempat yang mempunyai potensi  sangat besar.

Perak juga dikatakan popular sebagai tempat tumpuan golongan profesional  antarabangsa. Boleh Datuk Seri jelaskan

ZAMBRY:  Ya, beberapa tahun kebelakangan ini kita telah adakan beberapa persidangan peringkat antarabangsa seperti Pangkor International Devolepment Dialogue (PIDD) empat tahun berturut-turut dan mendapat sambutan yang sangat besar. Kita juga ada program Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor (Pulara) yang mendapat penyertaan di luar jangkaan kita.

Daripada 25 negara yang datang, dianggap program besar di peringkat antarabangsa. Kita ada program World Conference on Civilization and Islamic Thought (WCIT). Kita buat di Perak dan mendapatkan sambutan yang besar. Apa yang kita lakukan adalah mempakejkan produk pelancongan yang ada di negeri Perak. Terbaharu,  kita perkenalkan melalui pengisytiharan kerajaan persekutuan, Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai. Dengan usaha-usaha yang kita buat ini, negeri Perak mencatat pengunjung domestik tertinggi di negara ini.

Melihat potensi besar dan perkembangan bidang pelancongan yang dapat membantu ekonomi negeri Perak, adakah ianya seiring dari segi perindustrian yang merupakan nadi pembangunan ekonomi sesebuah negeri?

ZAMBRY: Di negeri Perak kita menekankan strategi bahawa tidak boleh menggunakan persaingan dengan negeri-negeri lain antaranya Perak berada di dua negeri yang dominan dari segi pertumbuhan ekonomi iaitu Pulau Pinang dan Selangor. Pendekatan bersaing untuk mendapatkan pelabur-pelabur yang sama atau sektor yang sama, ia tidak akan memberikan hasil dan pulangan yang baik.

Kita kena mengakui kerajaan persekutuan telah membina prasarana yang amat jauh berbeza dengan apa yang ada di negeri Perak. Di Perak perancangan perindustrian memerlukan kesungguhan dan melihat sektor-sektor  yang lebih berpotensi. Suka untuk  saya menyebutkan bahawa kita lebih senang bekerjasama daripada bersaing.

Apakah perancangan  jangka panjang Datuk Seri apabila melihat  potensi  yang ditunjukkan ini?

ZAMBRY:  Strategi menarik pelaburan ini banyak yang kira rangka dan rancangkan. Antaranya kita wujudkan kawasan-kawasan perindustrian yang baharu sementara  kawasan perindustrian yang lama perlu dikemaskinikan serta diberikan wajah baharu tempat berkenaan. Kita juga menekan aspek keperluan paip gas yang diperlukan industri khususnya dalam kawasan Lembah Kinta dan strategi ini telah pun kita lakukan bersama-sama pihak kerajaan dengan industri.

Seterusnya, kita kena membuka kawasan-kawasan baharu, infrastruktur baru, jaringan jalan raya seperti lapangan terbang yang baik dan sebagainya. Sebab itu Kerajaan Perak memikirkan untuk mewujudkan lapangan terbang yang lebih besar dan sebagainya. Selain itu, kita turut mengenal pasti potensi sebenar yang Perak ada khususnya industri yang tidak mempunyai persaingan ataupun industri yang dapat dikongsi bersama. Industri besar seperti industri MRO. Kita perlu wujudkan juga blueprint baharu terhadap kawasan-kawasan yang memerlukan pertumbuhan baharu seperti pelan pembangunan Wilayah Perak Selatan bermula dari Tanjung Malim hingga ke Bagan Datuk.

Dari segi kekuatan politik bagaimana? Adakah BN semakin kukuh?

ZAMBRY: Saya tidak mahu membuat kenyataan-kenyataan yang penuh dengan kesombongan atau bongkak. Saya fikir wartawan-wartawan Sinar Harian yang ada di negeri Perak boleh menjadi saksi kepada suasana politik yang ada pada hari ini di Perak. Secara keseluruhannya lebih aman, lebih damai. Tak ada peristiwa-peristiwa seperti dulu dan masing-masing nampaknya tahu tentang peri pentingnya menjaga suasana politik negeri Perak.

Dari sudut keyakinan tentunya sebagai parti yang memerintah saya tidak boleh kata langsung tak ada keyakinan. sudah tentunya kita mentadbir penuh yakin dengan tahap kepimpinan yang ada bersama rakyat. Kita menyantuni rakyat dan peranan kita dengan rakyat. Saya yakin tentunya ia memberi impak yang baik kepada rakyat. Kita sering dengar suara rakyat tentang pembaikan gerak kerja kita.

Salah satu impak besar adalah program permukiman di mana saya dan ahli-ahli Exco juga di kalangan jabatan-jabatan kerajaan  turun bersama menyelesaikan tugas dan tanggungjawab selari dengan konsep 3P yang diamalkan iaitu Padang, Perasaan dan Penyelesaian. Apabila kita berada di padang, kita melihat sendiri permasalahan rakyat atau sebarang perkara berkaitan dengan rakyat, sekali gus ada perasaan kita dengan mata, turun ke hati untuk mencari jalan penyelesaian

Adakah pengundi di Perak ambil kisah tentang isu-isu di peringkat nasional seperti 1MDB. Adakah isu-isu ini akan jejaskan sokongan rakyat di negeri ini

ZAMBRY: Saya fikir pengundi-pengundi kita lebih terarah kepada isu-isu atau masalah di kawasan masing-masing. Tetapi saya yakin  mereka juga mengikuti perkembangan semasa. Saya tidak boleh kata rakyat tidak mengikuti perkembangan berlaku di keliling mereka tetapi dalam masa yang sama mereka sulam dengan keadaan mereka, negeri dan tempat bekerja.

Mereka melihat peranan kita di peringkat negeri, apa yang dimainkan peranan oleh kerajaan negeri kerana akhirnya rakyat ingin melihat perkara-perkara yang menjadi perhatian utama mereka meskipun suasana yang berlaku di peringkat kebangsaan. Tentunya sukar untuk kita mengatakan mereka langsung tak ambil tahu.

Adakah ini bermaksud  rakyat Perak semakin menerima pentadbiran BN?

ZAMBRY:  Secara  keseluruhannya saya melihat rakyat tahu dan sedar apa yang berlaku di sekeliling mereka. Tetapi mereka juga sedar dan tahu keadaan mereka dan peranan yang dimainkan oleh kerajaan negeri yang mereka diami. Saya yakin dengan adanya suasana ini, kita berjaya memberikan perimbangan kepada hal yang berlaku di peringkat kebangsaan. Kita juga bertanggungjawab memberikan penjelasan-penjelasan yang dilemparkan kepada pihak pembangkang bukan sahaja isu berkaitan 1MDB tetapi pelbagai cerita seperti BR1M, GST dan sebagainya termasuklah Bajet 2018 yang dibentangkan baru-baru ini.

Bajet Negeri belum dibentangkan lagi. Mungkin ada apa-apa bayangan tertentu tentangnya?

ZAMBRY: Bayangan itu saya fikir kita mempunyai bajet yang agak terfokus dan mempunyai sasaran-sasaran yang telah pun kita tetapkan termasuklah khususnya dalam aspek sosial ekonomi, aspek pembelaan rakyat. Dalam konteks bajet negeri ini tidaklah sebesar bajet di peringkat nasional tetapi khusus kepada golongan sasar yang nak kita bela dan sektor-sektor ekonomi yang hendak kita berikan penekanan, jabatan-jabatan yang memerlukan bantuan-banuan yang lebih bagi membolehkan mereka menyelesaikan masalah dan juga strategi-strategi pertumbuhan ekonomi yang lain perlu kita fokus. Beberapa insentif juga akan diumumkan.

Berlakunya beberapa pemimpin Umno yang menyertai Pakatan Harapan, Pas dan Amanah kemudian berpecah. Masyarakat dan rakyat yang melihat mungkin keliru siapa yang hendak dipilih. Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan ini?

ZAMBRY: Sukar untuk kita perjelaskan dengan setepat-tepatnya kerana politik itu sesuatu yang dinamik ketika mana kita sedang lihat kemasukan ada di antara orang Umno menubuhkan Bersatu disebabkan oleh masalah konflik politik dalaman yang berlaku tetapi pada masa sama pihak di sana pula tidak mempunyai satu alternatif yang berkredibiliti seperti perpecahan dalaman yang berlaku.

Tidak ada keseragaman dan mereka barangkali terpaksa mengambil masa yang panjang untuk membentuk persefahaman itu. Ini yang menjadikan sesuatu parti itu agak sukar khususnya di Perak membentuk pakatan yang mantap dan kohesif. Kita tidak nafikan faktor-faktor calon atau individu itu memberikan impak, namun dalam konteks Malaysia, saya fikir kita masih lagi berada dalam lingkungan atas nama parti dan bukan hanya konteks Malaysia tetapi apa yang berlaku baru-baru ini di Jepun. Keadaan seperti ini kita tidak boleh kata calon menjadi keutamaan semata-mata tetapi ia menjadikan parti perlu meletakkan calon-calon yang baik.

Dalam konteks PRU14, apakah Perak telah bersedia dengan calon-calon baharu? Bagaimana pemilihan calon dan di peringkat mana sekarang.

ZAMBRY: Insya-ALLAH, pada PRU13 lalu kita ada calon-calon yang baik. Kita dah buat beberapa kali penilaian dan ia akan berterusan. Mereka telah pun dibuat penilaian sama ada yang sedang berkhidmat mahupun calon-calon berpotensi yang kita lihat mempunyai bakat-bakat baik yang boleh diketengahkan khususnya dalam kalangan generasi muda. Kita tidak boleh nafikan apabila kita ingin membuat keputusan dalam sesebuah parti kita perlu mengambil kira semua pihak sama ada lelaki atau wanita, muda atau dewasa, berpengalaman atau berlatar belakang akademik. Aspek-aspek ini sangat penting.

Kita sekarang ini ada kumpulan yang dinamakan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi. Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan itu.

ZAMBRY: Saya mengambil pendekatan bahawa fenomena yang berlaku kepada umat Islam hari ini sangat menyedihkan kerana apa yang disebutkan  sebagai fenomena branding ini sehingga kita membawa hilang kepada sasaran sebenar dalam usaha untuk menyatukan umat. Akhirnya ia memberi ruang kepada pihak lain untuk mengeksploitasi suasana perpecahan dan juga melihat branding ini sehinggakan kita lupa akan matlamat asas. Malang apabila kita terus terperangkap umpamanya masih membicarakan perkara-perkara fiqhiyah yang telah pun dibereskan oleh ulama-ulama dahulu dibangkitkan semula dan dibahaskan. Adalah amat malang juga apabila perkara-perkara kecil yang furuk dibangkitkan semula dan apabila masalah-masalah takfir di kalangan umat Islam dibangkitkan semula.

Masalah meletakkan siapa yang firaq (kelompok mana yang lebih betul) dan ini kadang-kadang menjadi satu kekacauan yang menyebabkan kita lupa ada di sana musuh yang sedang mencaturkan perkara ini di kalangan umat Islam dan ini amat membimbangkan. Kecenderungan masing-masing ada tetapi jangan sampai membawa kepada kesesatan umat. Yang ini kena ada batasnya.

Di Perak adakah isu-isu berkaitan kumpulan ini ditimbulkan?

ZAMBRY: Alhamdulillah, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah  amat prihatin dalam soal ini. Apa yang boleh saya katakan, di Perak kita tak ada isu-isu seperti ini yang begitu serius meskipun ada hak-hal berkaitan yang menyesatkan diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk).