SELEPAS dibebaskan daripada penjara dan diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat banyak membantu kerajaan dari sudut menjadi jambatan antara kerajaan dengan Istana. Menurut Anwar, antara intipati pertemuan dengan sultan dan raja adalah berkisarkan kepada memberi penjelasan dan meleraikan kebimbangan yang ada berkaitan kerajaan baharu.

Ikuti wawancara Sinar Harian dan The Star bersama Anwar oleh Penasihat Eksekutif Editorial, Datuk Abd Jalil Ali; Pengarang Eksekutif Cetak, Azmi Tarmizi dan wartawan, Asyraf Muhammad serta jurufoto Mohd Izari Rosli.

Persepsi umum melihat bahawa kerajaan baharu yang ditubuhkan ini seolah-olah tidak berpengalaman. Bagaimana datuk seri melihat peranan datuk seri sendiri dalam hal ini?

Mereka adalah berpengalaman. Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) merupakan perdana menteri yang berpengalaman. Kita juga mempunyai bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu (Tan Sri) Muhyiddin Yassin. Dan saya rasa mereka mampu mempengaruhi arah tuju Kabinet dan (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali serta Lim Guan Eng juga merupakan bekas Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Jadi saya dikir mereka ini mempunyai sedikit pengalaman sama ada di peringkat negeri mahupun pusat. Malah setiap keputusan yang dibuat juga seharusnya mendapat perbincangan dan kelulusan dari Kabinet. Dalam perkara ini, semua isu-isu perubahan polisi seharusnya dirujuk dan mendapat kelulusan dari Kabinet terlebih dahulu.

Kalau kita lihat, datuk seri bakal menjadi timbalan perdana menteri atau perdana menteri. Apa persediaan-persediaan yang telah dilakukan selama ini dan bagaimana berjalan? Adakah mengikut seperti yang dirancang?

Saya telah maklumkan pada Tun Mahathir dan umum bahawa saya memilih untuk tidak menyertai Kabinet atau pun mana-mana jabatan kerajaan. Itu untuk memberikan saya bebas bertemu rakyat, kemudiannya menjalin hubungan dengan rakan-rakan di peringkat antarabangsa, meningkatkan beberapa usaha dengan ahli perniagaan supaya dapat melabur di Malaysia. Jadi ini yang saya tumpukan. Tentunya beberapa bulan lagi saya harus fikir secara mendalam kawasan untuk saya bertanding. Tetapi itu pun sebagai ahli Parlimen biasa yang menyokong kerajaan Harapan dan tidak menyertai barisan kepimpinan kerajaan. Bermakna bukan untuk menyertai Kabinet, perdana menteri, itu tidak berbangkit.

Adakah ini bermaksud datuk seri lebih selesa berada di luar Kabinet, memainkan peranan yang berbeza di peringkat antarabangsa?

Dalam hal ini juga, umpamanya perkenan Tuanku soal pelantikan peguam negara. Usaha kecil saya untuk meleraikan dan mendapatkan persefahaman awal. Itu juga saya lakukan. Selain itu, tentulah saya juga ada memenuhi undangan contohnya Presiden Habibi ke Jakarta, dan selepas pilihan raya juga memenuhi undangan Erdorgan ke Turki. Saya agak selesa dengan cara begitu. Selain daripada itu, saya dapat kumpulkan sedikit ruang untuk keluarga.

Jika dilihat, institusi diraja dilihat seakan bimbang dengan pelantikan Peguam Negara yang baharu. Pada pandangan datuk seri, apakah aspek yang menimbulkan kebimbangan tersebut?

Sebenarnya saya telah bertemu dengan hampir semua institusi diraja di negara ini. Sudah tentu keprihatinan raja-raja perlu dihargai oleh semua rakyat Malaysia kerana mereka berada di kedudukan yang berkecuali dan tidak mampu untuk respons terhadap sebarang kebimbangan rakyat. Kebimbangan pertama raja-raja adalah melibatkan pembentukan kerajaan baharu di negara ini. Raja-raja telah biasa dengan Umno-BN sejak 60 tahun lalu.

Apabila kami bertemu, saya memberi jaminan kepada mereka bahawa kerajaan baharu komited untuk mempertahankan perlembagaan termasuk pemerintahan monarki. Sudah tentu mereka menyambut dengan baik dan berbesar hati kerana kami komited untuk mempertahankan perlembagaan dan termasuk sistem monarki tersebut.

Perkara kedua yang ditanyakan adalah melibatkan kedudukan Islam di Malaysia. Ini adalah kerana mereka melihat perkembangan menerusi media sosial dari masa ke semasa bahawa terdapat tindakan yang dilihat bertentangan dengan Islam malah ada di antaranya membuat permintaan yang melebih. Saya sendiri sukar memahami perkara itu, malah ada juga yang beranggapan bahawa Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) perlu ditutup selepas ini.

Namun kami memberi jaminan bahawa kerajaan baharu mempunyai peranan dalam menjamin institusi ini termasuk merombak semula badan berkenaan bagi memastikan ia lebih berkesan di samping untuk mengelakkan berlaku tanggapan yang salah. Itulah peranan kecil yang saya lakukan yang membolehkan saya mendapatkan jalan untuk berunding dan berbincang dengan Baginda Yang Dipertuan Agong tentang Peguam Negara. Apabila saya bertemu dengan Baginda, ia tidak seperti yang anda dengan atau baca di media sosial.

Saya mempunyai kelebihan mendengar secara terus  permasalahan dari pihak Istana. Beliau menginginkan mekanisme di mana terdapat konsultasi yang berkesan dalam kerajaan baharu (berhubung perkara itu). Baginda juga tidak menafikan hakikat bahawa perdana menteri mempunyai keutamaan dan perlembagaan itu jelas. Baginda memberitahu sendiri perkara itu dan saya tidak perlu mengingatkannya. Baginda juga memaklumkan bahawa Baginda hanya boleh menangguhkan (pelantikan AG) sehingga mendapat penjelasan.

Sekarang pentafsiran undang-undang perlembagaan jelas mengenai perkara itu. Baginda juga meminta untuk menyatakan secara terbuka di mana Baginda menerima pemecatan Tan Sri Apandi Ali dan melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara baharu malah pada masa sama mengukuhkan dan mempertahankan kedudukan mengikut perlembagaan termasuk hak istimewa Melayu serta hak Bumiputera di samping mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini. Saya menjawab, Tuanku mempunyai hak untuk mengeluarkan kenyataan itu.

Tapi tanggapan umum ialah apabila Datuk Seri mengunjungi sultan dan raja-raja, ia mungkin ada kaitan dengan peristiwa-peristiwa sebelum itu yang antaranya kelewatan angkat sumpah Perdana Menteri dan sebagainya termasuklah pelantikan Peguam Negara. Tapi setelah Datuk Seri menemui sebahagian besar istana dan Perlis belum pergi lagi. Apa pandangan Datuk Seri mengenai hubungan institusi istana dengan pentadbiran baharu sekarang?

Pertama, istana umumnya mahu penjelasan atau penegasan bahawa kerajaan tunduk dan menerima peranan raja berperlembagaan. Bagi saya tidak susah, malahan tidak munasabah kalau orang ada tanggapan sedemikian tetapi kenyataannya begitu sebab kita tidak beri penjelasan secara langsung. Saya kata ada dalam manifesto, ada dalam perjanjian tapi mereka kata betullah tapi ia tidak disampaikan dengan jelas kerana manifesto itu kadang-kadang kita terima, kadang-kadang kita tidak terima, kadang-kadang kita laksanakan, kadang-kadang kita tangguh.

Jadi pertemuan saya dengan raja-raja ada yang kita pohon menghadap dan kebanyakan saya ditatah menghadap. Mungkin kerana lama tidak jumpa, nak tengok sama ada Anwar Ibrahim bertukar wajah atau apa. Tapi saya tentulah sambut baik sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia dan saya tidak ada masalah kerana buat masa ini saya tidak ada tugas lain.

Cuma saya tidak boleh mengelak daripada mengundang tanggapan yang berbeza tapi tanya sayalah dan tanya raja. Nak buat tafsiran jahat sebab apa? Ada tafsiran yang katakan tafsiran ini adalah percubaan untuk meminggirkan perdana menteri dengan tubuh gagasan baharu. Kita tentu tidak dapat mengelak untuk memberi penjelasan.

Sekarang Tun dilihat sangat popular untuk menyelamatkan Malaysia. Apa perasaan Datuk Seri selepas orang yang memenjarakan anda, sekarang sedang menyelamatkan negara. Adakah anda memaafkannya?

Sekiranya tidak memaafkannya, kita tidak akan mengiktiraf Pakatan Harapan. Lihat rakan- rakan kami yang lain, DAP, Amanah dan PKR, mereka sudah lama menantikan saya. Saya seorang yang mudah untuk memaafkan. Ini adalah masa untuk bekerja sama. Ia tidak sukar bagi saya tetapi bagi (Datuk Seri Wan) Azizah (Wan Ismail) dan anak-anak. Mereka sangat beremosi apabila melihat banyak perbincangan penting antara saya dan Mahathir, tetapi saya akhirnya memberi penjelasan kepada mereka. Dengar apa kesalahan yang dilakukan. Anwar layak sebagai Perdana Menteri akan datang? Maksud saya cukup untuk saya.

Dr Mahathir juga ditakdirkan (untuk menjadi Perdana Menteri kali kedua). Beliau kerja keras dan dengan jelas untuk membawa negara kembali ke landasan yang betul. Saya fikir beliau adalah sebagai pemimpin hebat. Saya beritahu rakyat, ia adalah hikmah oleh ALLAH untuk kita bersatu. Dr Mahathir menjalankan tanggungjawabnya untuk menghapuskan rasuah secara besar- besaran dengan menyingkirkan pegawai kerajaan yang terlibat dan sebagainya. Saya rasa saya pun tidak mampu melakukan sepertinya. Tidak mengapa saya tiada jawatan tetapi saya akan tetap membantu.

Apabila dibebaskan, datuk seri memutuskan untuk melancong dan melawat beberapa pemimpin dunia yang mana mereka adalah kawan datuk seri dan minggu lalu datuk seri memaklumkan untuk pilihan raya kecil dalam beberapa bulan akan datang. Jadi kenapa menukar perancangan?

Tidak. Beberapa bulan adalah masa yang panjang. Saya cakap pada permulaan Ramadan akan bertemu dengan pemimpin tempatan dan rakyat dan akan ke London dan pulang untuk Hari Raya kemudian ke Turki. Saya rasa ini adalah pengalaman yang bagus.

Cabaran utama kerajaan baharu pada masa ini adalah untuk menangani masalah hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu dan harapan rakyat terhadap manifesto . Bagaimana datuk seri yakin bahawa kerajaan sekarang mampu untuk merealisasikan impian ini?

Yang baiknya kerajaan memberitahu bahawa masalah kemelut ekonomi lebih parah dari yang dijangka. Lim Guan Eng memberitahu mengenai keadaan sebenar dan sistem tidak terlalu lancar, Jadi kita harus terima kenyataan seperti Dr Mahathir memberitahu beberapa projek yang kita janji terpaksa ditangguhkan. Saya harap rakyat dapat menerima sebab kita membuat kajian berdasarkan angka yang kerajaan ketika itu beri. Sekarang kita sudah menjadi kerajaan dan mendapati angka itu lebih buruk dari yang disebut. Sebab itulah unjuran kita kurang tepat.

Adakah rakyat harus bersabar dahulu?

Saya setuju rakyat yang terlalu terbeban, dana bantuan kemiskinan haruslah diberikan.

Kita lihat beban hutang terlampau besar dan ia tidak pernah terbayang, jadi apakah keupayaan kerajaan baharu untuk menanganinya dengan mengambil kira beberapa sumber ekonomi telah dipotong seperti GST?

Syukur alhamdulillah kita dapat tawan kerajaan supaya dapat menangani masalah ini. Masalah hutang itu  tiada pendedahan. Semalam pun Guan Eng memberitahu saya beberapa penemuan yang mengejutkan lagi. kalau kita lihat kontrak tersebut pada harga tinggi, kita akan berunding semula  dan ia akan menjadi turun. Sekiranya rundingan berjaya, kita dapat menyelamatkan berpuluh-puluh bilion.

Adakah datuk seri akan kembali ke Parlimen lebih awal?

Tidak. Kehadiran saya ke Parlimen adalah untuk berkhidmat. Kita tidak boleh halang spekulasi dan tidak perlu bertarung dengan sesiapa dalam berita. Jangan risau, untuk tempoh dua tahun ini, tiada apa- apa yang akan berlaku.

Berbalik kepada perbezaan pandangan dan persepsi mengenai agama. Dalam konteks Malaysia dalam kalangan ulama ada percanggahan dan kadangkala sampai ke peringkat ekstrem dan memecahbelahkan perpaduan orang Melayu sendiri. Bagaimana datuk seri melihat perkara itu dan apa yang kita boleh buat sekarang?

Jika ustaz bercakap mereka kebanyakan merujuk kepada pendapat mazhab. Kita terima empat mazhab dan ada lah perbezaan sedikit yang kita terima walaupun di sini kita terima Mazhab Shafie. Tetapi, mana boleh kalau perbezaan sedikit sehingga hukum orang terkeluar dari landasan. Saya memang berdamping dengan ulama menimba pengalan dan ilmu mereka.

Berkenaan dengan perlaksanaan hudud, kalau tanya ulama dunia dalam konteks semasa, pelaksanaan itu bukan keutamaan. Cuba tanya sebahagian ustaz di kampung-kampung semua kata ia keutamaan. Kalau tanya saya, saya nak dengar siapa? Saya nak dengar semua pihak dengan hujah keutamaan yang kuat. Contohnya, mengenai pembentangan RUU355, PKR kata hak Yb Marang bentang kita setuju,

rakyat Cina marah pula kata kita setuju dengan hudud. Saya kata setuju hak dia bentang, tetapi kena bahas, mesti ada hak pinda dan mesti ada hak tolak. Kerana yang pertama dibentangkan itu bukan hudud, keduanya itu hanya pentafsiran beliau. Itulah situasi di negara ini. Sebab itu saya harapkan dengan media yang lebih bebas, kita ada ruang untuk membincangkan sesuatu pandangan dengan lebih berkesan.

Mengenai Jakim, apa yang sebenar terjadi kepada Jakim sehingga ia perlu dirombak?

Dr Mahathir tidak kata akan dibatalkan, beliau kata Jakim akan dikaji semula. Tidak boleh di nafikan kebanyakan pegawai kanan Jakim terlibat dalam kempen parti yang berlebihan. Sekarang ini ramai orang bangkitkan berkaitan halal yang mereka kata sudah lebih , maksud saya sampai kain pun nak dihalalkan, ia dikatakan keterlaluan. Terdapat juga tuduhan langgar syariat yang dibuat oleh mereka. Bagi saya tidak salah untuk dikaji balik. Saya ada jumpa dengan beberapa syarikat makanan Cina yang bagi tahu saya mereka tidak kisah berkaitan halal ini. Tetapi kos janganlah tambah-tambah.

Keduanya, jangan lah periksa terus kerana nak periksa nanti kena juga kos tambahan. Tetapi orang Islam kita kena lah periksa takut mereka pakai bahan yang terlarang. Kerana itu, ada beberapa perkara kita perlu teliti. Dakwah pun sama juga, perlu ada format yang betul. Sebab itu, kita perlu kaji semua perkara.