SELINSING - Seorang suri rumah terkejut apabila diserang dan nyaris dipatuk ular tedung yang melingkar di dalam almari di bilik utama rumahnya di Kampung Tebuk Haji Dollah, di sini, ketika mahu menyusun pakaian, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa hanya dikenali Rosmah, 30, baru selesai melipat pakaian dan membuka almari baju untuk menyusun pakaian berlipat, namun terkejut setelah dia terpandang objek berwarna kelabu terkeluar sedikit dari almari itu.

Menurutnya, ketika hendak melihat objek itu dengan lebih dekat, tiba-tiba dia terdengar bunyi seakan mendengus dari arah dalam almari itu.

“Pada mulanya, saya sangka ia kayu dan cuba menggerakkannya dengan kayu sebelum mendapati objek itu lembik dan bergerak tetapi senyap. Saya keluar sebentar sebelum masuk semula selepas beberapa minit kerana tak sedap hati.

“Saya terperanjat dan menjerit sekuat hati kerana benda itu rupa-rupanya ular tedung sepanjang kira-kira tiga meter lebih yang cuba bertindak menyerang saya setelah pintu almari dibuka sepenuhnya.

“Mujur saya sempat menutup semula dan segera menjerit memanggil suami yang ketika itu berada di luar untuk mendapat bantuan,” katanya kepada media di sini, kelmarin.

Suami mangsa, Mohd Zaki, 33, berkata, sejurus mendengar jeritan isterinya, dia bergegas masuk ke dalam bilik untuk melihat perkara yang berlaku.

“Selepas dimaklumkan isteri terdapat ular tedung selar menjadi penunggu di dalam almari bilik kami, saya segera menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

“Dengan pantas sekumpulan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kerian tiba di rumah saya lebih kurang 20 minit kemudian untuk menangkap ular itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi dan Latihan JPAM Kerian, B Sugumaran berkata, sepasukan skuad operasi menangkap ular diketuai Abdul Sani mengambil masa lebih 20 minit untuk menangkap ular berkenaan kerana ia sangat agresif.

“Panjang haiwan berbisa itu lebih tiga meter dan berat lebih kurang tiga kilogram,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.