TEMERLOH - Membawa haiwan peliharaan ke pasaraya mahupun ke kedai makan adalah isu sensitif yang perlu diberi perhatian sebaiknya oleh semua masyarakat dalam negara ini.

Bukan tidak pernah berlaku, sebelum ini, netizen mempertikaikan bangsa lain membawa anjing peliharaan ke pasar raya dan meletakkan dalam troli hingga mencetuskan kemarahan masyarakat.

Kini, tular seorang wanita mendukung anak anjing di kedai makan Melayu di Temerloh di Facebook CBF Kecik.

Katanya, menyangkakan ia adalah anak patung tetapi apabila mendekati ternyata seekor anak anjing.

"Ingatkan anak patung, rupanya betul-betul seekor anak anjing dipegang ketika memilih makanan di sini.

"Memang terkejut kerana wanita itu seperti tidak rasa bersalah membawa haiwan peliharaan di kedai majoritinya adalah Melayu," katanya.

Menurutnya dia juga bertindak memaklumkan kepada wanita itu untuk beredar dari kedai dan melarang membawa anjing sekiranya ingin membeli makanan di sini.

"Saya telah meminta dia membawa keluar anjingnya dari kedai namun dia tidak memahami bahasa Melayu," katanya.

Dalam pada itu netizen, Angeline Yen Yap berkata, dia turut tidak bersetuju dengan tindakan wanita itu membawa haiwan peliharaan ke kedai makan tersebut, seolah-olah tidak menghormati sensitiviti agama dan bangsa.

Bagi MB Tony Song memberitahu, tindakan wanita itu agak melampau kerana menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pelanggan Melayu.

"Perlakuan wanita itu memang biadab, haiwan peliharaan tidak boleh di bawa kesemua kedai makan tidak kira kedai Melayu, Cina dan India.

"Sepatutnya perkara ini perlu ditekankan oleh semua masyarakat demi memelihara perpaduan bangsa," katanya.