KEMENTERIAN Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan mencadangkan cuti sekolah dibuat secara berperingkat antara negeri bagi mengurangkan kadar kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.

Perkara itu telah disuarakan Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya sedang merangka cadangan itu yang akan dikemukakan kepada kepada Kementerian Pendidikan, yang dicadang melibatkan cuti sekolah yang biasa diberikan pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cuti sekolah disyor secara berperingkat antara negeri]  

Susulan itu, Sinar Harian telah membuat satu udian di laman sosial Facebook dan melalui udian tersebut, 82 peratus tidak bersetuju, manakala 18 peratus bersetuju dengan cadangan tersebut.

Melalui udian yang dibuat, netizen turut meninggalkan komen-komen mereka.

Bagi Shaipul pada musim cuti sekolahlah waktu yang sesuai untuk berkumpul dengan adik beradik dan juga sanak saudara.

"Orang tiada kampung boleh lah... kita nak berkumpul juga dengan adik beradik dan   sepupu. Sebab masa inilah nak eratkan hubungan saudara," tulisnya.

Musmuliana Murad pula berkata, bukan senang ingin berkumpul dengan adik-beradik.

"Susah ingin mengatur masa sesuai berkumpul adik beradik dan keluarga.  Waktu cuti beginilah, semua nak kumpul.  Majlis kenduri kendara pun orang sanggup tunggu cuti sekolah. Sebab pada waktu itulah semua boleh datang.

"Melalui majlis kenduri kendara beginilah eratkan silaturahim antara satu sama lain.  Kalau tidak  buat macam itu anak-anak kita yang kecil-kecil mungkin tidak kenal mak ngah yang mana, mak long yang mana, sepupu sepapat pun tak mesra sebab jarang berkumpul," tulisnya.  

Perkara itu juga tidak dipersetujui oleh Mohamed Yassir, katanya ia rasis dan cadangan itu boleh menyebabkan perpecahan kenegerian.

"Mereka yang pergi melancong, maksudnya banyak duit, maka naikkan cukai dan harga berkaitan pelancongan sebagai satu cadangan untuk elak sesak tempat pelancongan.  Sebab orang susah tidak akan pergi melancong," tulisnya.

Bagi Mazli Zolkhifli pula berkata, bagi mengelakkan kesesakan jalan raya, kerajaan sepatutnya tambah baik pengangkutan awam.

"Sebaliknya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Transit Aliran Massa (MRT) pula dibatalkan," tulisnya.

Selain daripada itu terdapat juga komen-komen positif dari kalangan netizen dan turut memberikan cadangan berkaitan perkara tersebut.

Rashan Nidhu mencadangkan agar banyakkan cuti pada hujung minggu seperti Sabtu, Ahad, Isnin.

"Contoh pada hari Isnin pertama bulan Februari, hari Isnin pertama bulan Jun dan sebagainya. Jadi rakyat ada banyak pilihan waktu untuk melancong berbanding sekarang.

"Malah melancong juga boleh dilakukan pada hari kebesaran yang tidak berkaitan dengan cuti sekolah seperti hari pahlawan, hari keputeraan, hari buruh dan cuti lain-lain yang  diwartakan cuti. Ia boleh merancakkan industri perlancongan jika banyak cuti panjang,"  tulisnya.

Manakala Zakri Pilus berkata, perkara itu baharu peringkat cadangan kementerian dan pastinya sebelum ia diputuskan satu kajian terperinci akan dilakukan dengan Kementerian Pendidikan dan juga pihak kerajaan.

Bagi Halim Ahmad dia bersetuju dengan cadangan itu memandangkan ia satu pilihan untuk membantu mengurangkan kesesakkan.

"Tolonglah setuju. Terlalu sesak perkhidmatan dan pengangkutan awam. Terutamanya yang bersekolah asrama. Sebiji sekolah sudah penuh satu bas ekspres," tulisnya.