GOLONGAN wanita dan 'shopping' tidak boleh dipisahkan. Ia bagaikan terapi buat golongan hawa.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pemilik Facebook, Muhammad Hassan yang mendapat lebih 6,000 like dan perkongsian sehingga petang tadi, terutama golongan wanita dan pada masa yang sama 'tag' suami masing-masing.

Tulisnya, seronok sebenarnya bagi masa untuk isteri membeli belah pakaian mereka.

"Itulah ‘me time’ seorang isteri apabila masuk pasar raya, itulah masa untuk mereka hilangkan stress (tekanan) dan itulah salah satu cara suami gembirakan isteri yang sepanjang perkahwinan jiwanya untuk kita.

"Saya cakap dekat isteri, Pergilah pilih baju berapa lama masa yang awak nak, takpa saya jaga anak. Memang lama betullah, sampai saya dan anak pun cari ruang untuk rehat," tulisnya.

Menurutnya, selain dirinya, ramai juga kalangan suami yang sabar sepertinya kerana  menjaga anak sementara para isteri membeli belah.   

Tulisnya lagi, bagi isteri terutama suri rumah, masa mereka lebih banyak berada dalam rumah, dapur, bilik, ruang tamu dan itu merupakan pejabat mereka secara 24 jam.

Dia juga melahirkan rasa terharu apabila melihat suami melayan sepenuhnya ‘me time’ seorang isteri.

"Ada tu dari jauh lambai-lambai isteri sambil buat 'flying kiss'. Saya apa lagi, lambai jugalah dekat isteri, ingat nak buat flying kiss juga, rupanya isteri balas dengan isyarat nak duit," tulisnya.

Katanya, isterinya mengucapkan terima kasih di atas kesudiannya mengeluarkan belanja untuk dirinya membeli belah, tetapi dia membalas dengan menyatakan itu merupakan hak seorang isteri terhadap suami.

Dia juga turut menitikkan pesanan buat para suami, agar membuat apa cara sekali  pun, asalkan pasangan dan keluarga bahagia kerana bahagia itu  mahal.