JELEBU - Isu pemansuhan tol, perpaduan kaum, penetapan harga mingguan minyak, cukai barang dan perkhidmatan (GST) antara isu utama yang diketengahkan dalam program 'Destini Bangsa: Istiqamah Bersama Umno/ Barisan Nasional di sini, hari ini.

Program anjuran Biro Penerangan Umno Bahagian Jelebu itu diadakan bagi mengupas isu-isu semasa oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Antara isu yang sedang hangat diperkatakan ketika ini susulan pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pemansuhan kutipan tol tertentu di Selangor.

Annuar berkata mereka mempertikaikan pemansuhan kutipan tol ini kerana mendakwa kononnya kutipan tol di kedua-dua plaza tol di Selangor iaitu di Tol Batu Tiga, Shah Alam dan Tol Sungai Rasau memang akan tamat pada tahun hadapan yang ternyata perkara itu tidak benar.

"Sudahlah tidak benar bahkan mereka tidak tahu betapa sukarnya untuk memansuhkan tol ini, bagaimana ia membolehkan kerajaan menghapuskan tol adalah disebabkan kerajaan membeli balik syarikat konsesi ini  melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd,  yang ketika ini sudah menjadi milik kerajaan.

"Untung rugi akan berbalik pada kerajaan semula, dan apabila kerajaan merasakan terdapat keuntungan maka pemansuhan ini dilaksanakan di beberapa buah negeri dahulu," katanya.

Program itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias dan pemimpin parti komponen BN.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata pemansuhan itu bukan bermakna secara percuma dilaksanakan oleh kerajaan kerana ia diibaratkan membayar guna poket kiri dan masuk poket kanan.

"Kerajaan bayar pada Plus tetapi Plus sudah milik kerajaan, ini disebabkan apa? Untuk apa? Supaya rakyat tidak susah," katanya.

Selepas pengumuman pemansuhan dua tol di Selangor itu serta dua lagi tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah serta  Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor Jumaat lalu, tular dakwaan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau dijadualkan tamat pada 2018, sekali gus pemansuhan itu hanya 'helah' kerajaan.

Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan, kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, sepatutnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2038 namun melalui pemansuhan itu bermakna ia akan ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi berkenaan. - Bernama