AIR adalah antara salah satu sumber terpenting dalam kehidupan di muka bumi ini.

Antara sumber air terbesar merupakan daripada sungai yang mengalir di setiap pelusuk bandar dan kampung.

Sungai bukan sahaja menjadi sumber air tetapi juga sumber makanan kepada manusia, jalan pengangkutan dan perdagangan.

Malangnya, tak semua di antara kita sedar kepentingan sungai sehinggakan mengabaikan tanggungjawab untuk menjaganya daripada tercemar.

Terlalu banyak sungai yang tercemar di atas muka Bumi ini, memetik portal iluminasi.com telah menyenaraikan lima sungai yang paling terkotor dan tercemar di dunia.

1. Sungai Ganges - India

Sungai Gandes ini dianggap sungai paling suci dalam agama Hindu. Ganges berasal dari glasier Gangotri di Himalaya barat dan mengalir melalui dataran Gangetik India Utara yang kemudiannya memasuki Bangladesh, di mana ia memenuhi Teluk Bengal.

Sungai Ganges telah disenaraikan sebagai salah satu daripada lima sungai paling tercemar di dunia.

Ini kerana sungai ini sering dikaitkan dengan upacara keagamaan, pencemaran saban hari termasuk, sisa toksik, kumbahan, plastik dan pelbagai lagi.

2. Sungai Citarum - Indonesia

Sungai ini mengalir melalui wilayah Jawa Barat.  Sungai Citarum merupakan sumber penting yang membantu bidang pertanian, industri, perikanan, dan penjanaan elektrik.

Bagaimanapun, sungai ini berada dalam krisis yang melampau ketika ini kerana dipenuhi dengan berjuta-juta tan sisa domestik dan industri.

Permukaan air sangat padat oleh semua bahan pencemar sehinggakan air sungai tidak kelihatan.

Semua jenis bahan cemar seperti botol plastik, tayar, sarung tangan getah, perabot rumah yang rosak, kumbahan, bahan kimia berbahaya, logam berat, dan lain-lain boleh ditemui di sungai ini, sekaligus menganggu ekosistemnya.

3. Sungai Buriganga - Bangladesh

Sungai Buriganga adalah antara salah satu sungai yang paling penting dari segi ekonomi untuk Bangladesh.

Sungai ini telah merancakkan perdagangan sejak abad ke-17, juga merupakan salah satu sumber utama air minuman penduduk di Dhaka.

Namun airnya telah tercemar oleh bahan pencemar berbahaya seperti sisa industri dan isi rumah, kumbahan, sisa perubatan, minyak, plastik termasuk bangkai haiwan.

4. Sungai Matanza-Riachuelo - Argentina

Sungai ini mengalir sepanjang Buenos Aires, ibu kota Argentina.

Dikenali sebagai 'sungai penyembelihan', sungai Matanza sepanjang 64 kilometer mengeluarkan bau sangat busuk kerana berjuta-juta tan kumbahan dilepaskan ke dalam sungai ini.

5. Sungai Mississippi - Amerika Syarikat

Lembah sungai Mississippi adalah salah satu kawasan pertanian yang paling subur. Namun kini, rantau yang dikelilingi muara sungai ini dipanggil sebagai 'Zon Mati'.

Gelaran itu dberikan disebabkan oleh alga berbahaya yang tumbuh di dalam sungai mengakibatkan pencemaran sehingga menyebabkan semua hidupan laut mati.