KEHADIRAN anak pastinya sangat dinanti bagi setiap pasangan suami isteri. Keterujaan itu bukan sahaja dirasai oleh ibu bapa bayi tetapi turut dikongsi ahli keluarga dan rakan taulan.

Lumrah juga bagi masyarakat kita untuk menziarah ibu yang baru melahirkan bayi bagi sama-sama meraikan kedatangan orang baharu dalam keluarga mereka.

Umum tahu, antibodi bayi baru lahir sangat lemah dan mudah dijangkiti. Justeru, kita sering mendengar kisah menyedihkan tentang bayi yang terkena jangkitan dan sebagainya dek sentuhan serta peluk cium orang yang datang menziarah.

Mazne Aznan menerusi laman Facebooknya turut berkongsi cerita duka dialami permata hati ketiganya Uthman Al Affan Ahmad Farhan yang mendapat lebih 15,000 perkongsian.

Kira-kira 10 hari selepas Affan dilahirkan pada 20 Julai lalu, Mazne menemui kesan seperti melepuh mengandungi cecair berwarna kuning pada muka anaknya.

Wajah terkini Affan.

Selepas pemeriksaan dibuat, doktor mengesahkan Affan menghidap Impetigo iaitu sejenis jangkitan kulit yang biasanya dialami bayi dan kanak-kanak.

Menurut Dr Syed Jefrizal Syed Jamal yang merawat Affan, bayi itu mungkin mendapat jangkitan daripada mereka datang melawat yang mengalami sakit kulit.

Kerisauan Mazne dan suami mulai lega apabila doktor menjelaskan ia boleh dirawat dengan hanya menyapu krim tanpa perlu disuntik antibiotik.

Bagaimanapun, beberapa hari selepas keluar dari hospital, keadaan Affan masih belum sembuh sepenuhnya dan bertambah buruk apabila kuping-kuping kuning mula tumbuh di sekitar mulut dan mata menyebabkan dia sukar membuka mata.

Kali ini Affan terpaksa disuntik dua jenis antibotik selepas doktor mengesahkan dia mengalami Scalded Skin Syndrome.

Selepas hampir sebulan menghabiskan masa di hospital, Affan kini beransur pulih dan kulitnya mula mengelupas bagi digantikan dengan kulit baru.

"Kurniaan terindah dari ALLAH SWT. Ummi sampai sekarang fobia. Berjaga-jaga wahai ibu ayah sekalian. Tidak mengapa kalau nak kedekut dengan anak yang baru lahir. Tidak mengapa kalau tiada yang melawat. Bayi baru lahir, antibodinya tak kuat. Senang sangat dapat jangkitan apa-apa pun.

"Saya sebelum ni banyak baca cerita pasal orang lain. Tapi bila kena pada diri sendiri, rasa bersalah sangat pada Affan," katanya.