BARU - baru ini, tular  satu video dimana seorang lelaki bertindak memarahi seorang promoter di sebuah pasar raya yang didakwanya cuba mempromosikan minuman keras kepada orang-orang Islam.

Meskipun sudah dijelaskan oleh promoter itu, dia hanya mempromosikan minuman itu kepada 'non muslim', tetapi lelaki yang dikenali sebagai Edi Rejang turut bertindak secara keterlaluan apabila menunjukkan isyarat lucah kepada promoter wanita berkenaan selain memarahinya kerana menggunakan bahasa Inggeris tidak bahasa Melayu ketika berkomunikasi dengannya.      

Menerusi penularan video tersebut, dia dikecam teruk oleh netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai memalukan dan lebih bersifat perkauman.

Setelah kecaman demi kecaman yang diterima, Edi Rejang akhirnya bertindak memuat naik satu rakaman video permohonan maaf di atas kejadian yang berlaku.

Video yang berdurasi 45 saat itu, juga tular di media sosial selepas dikongsi oleh ramai netizen.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya yang dikenali sebagai Edi Rejang ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia terutama kepada promoter perempuan tersebut.

”Saya akui kesalahan saya dan amat menyesal atas tindakan saya terhadap promoter tersebut. Saya berharap isu ini tidak lagi dipanjangkan oleh mana-mana pihak memandangkan saya telah pun bertemu dengan YB Lim Lip Eng, (Dap-P114 Kepong) dan telah membuat permohonan maaf kepada pihaknya.

”YB Lim juga menyatakan akan membuat satu perjumpaan dengan promoter perempuan tersebut secepat mungkin. Sekian, terima kasih,” katanya.

Melalui komen-komen yang ditinggalkan netizen di perkongsian video berkenaan meskipun ada yang tidak berpuashati, tetapi sebahagian besar netizen berharap kejadian berkenaan dijadikan sebagai satu iktibar kepada pelaku dan juga semua pihak.

Bak kata pepatah, kerana mulut badan binasa.