Pengunjung : 11646 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Nelayan Kuala Chenang mahu pangkalan baru

KEDAWANG - Kira-kira 200 nelayan di Sungai Chenang, Kedawang, di sini memohon pihak berkuasa untuk menyediakan pangkalan baru yang lebih luas bagi kemudahan mereka.

Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan Sungai Chenang (KPSPSC), Asri Shaaban berkata, pangkalan yang sedia ada kini tidak lagi boleh menampung jumlah bot nelayan yang semakin banyak.

Menurutnya, masalah utama dihadapi nelayan kini adalah kuala sungai tempat meletakkan bot semakin cetek dan terlalu padat.

“Nelayan mengalami kesukaran untuk meletakkan bot mereka kerana terpaksa disusun rapat antara satu bot dengan lain.

“Jumlah bot bertambah dan sering berlaku kesesakan apabila mereka turun ke laut.

"Keadaan itu menyebabkan bot mereka bergeseran dan hampir menyebabkan kemalangan,” katanya selepas mesyuarat Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan Sungai Chenang (KPSPSC) kali kelima di Kompleks Mini LKIM di Kuala Chenang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Abu Bakar Taib; Pegawai Pengut kuasa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Majid Ibrahim dan nelayan sekitar kawasan itu.

Asri berkata, penempatan baru pangkalan diperlukan supaya masalah ini tidak berlanjutan.

Beliau juga mendakwa, kawasan persekitaran kuala sungai ini juga telah tercemar dengan sisa najis dan kumbahan dari hotel dan restoran berdekatan.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, pihaknya akan mengusulkan cadangan nelayan Kuala Chenang bagi mendapatkan sebuah pangkalan baru ke peringkat kementerian.

Pada majlis itu juga, beliau turut menyumbangkan peruntukan RM5,000 kepada KPSPSC untuk pembangunan persatuan berkenaan.