Pengunjung : 38294 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Badminton pentas pelajar tonjol bakat

GEORGETOWN - Pertandingan Badminton Pulau Pinang 2010 yang berlangsung di Kompleks Sukan Badminton Bukit Dumbar, Jelutong membuka peluang kepada pelajar dan remaja menunjukkan bakat serta potensi mereka dalam sukan itu.

Pertandingan badminton yang berlangsung selama empat hari bermula 5 Februari lalu itu membabitkan seramai 120 peserta bagi kategori lelaki perseorangan bawah 11 tahun ke bawah, 150 peserta lelaki perseorangan dan 130 peserta lelaki beregu yang turut melibatkan penyertaan peserta dari tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Pengarah Universal House Sdn Bhd, Ong Han Beng berkata, pertandingan itu bertujuan menggalakkan penglibatan belia agar bergiat aktif dalam badminton.

Menerusi kategori lelaki 11 tahun ke bawah itu, beliau mendapati bahawa penyertaan peserta amat baik dan membanggakan di samping mencari bakat baru daripada peserta yang mempunyai potensi yang tinggi untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Meskipun pada usia yang masih muda, mereka mampu menunjukkan corak permainan yang menarik.

“Malah kanak-kanak ini juga agresif dalam menunjukkan aksi mereka dalam permainan di samping mempamerkan daya saing yang tinggi,” katanya sewaktu ditemui pemberita di sini.

Han Beng berkata, bagi kategori lelaki perseorangan dan lelaki beregu, ia terbuka kepada penyertaan belia yang tidak pernah memenangi sebarang pertandingan badminton sebelum ini.

Oleh itu, katanya, pertandingan berkenaan bertujuan untuk membuka peluang yang lebih besar kepada mereka dalam menceburi badminton di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Menurutnya, pertandingan sebegini dapat memantapkan lagi prestasi peserta di samping memupuk semangat kesukanan.

Selain itu, katanya, peserta yang menyertai pertandingan itu turut diberi peluang untuk menerokai bakat istimewa dalam diri masing-masing.

“Menerusi pertandingan ini peserta turut mendapat latihan fizikal dan mental seterusnya mempersiapkan kecergasan fizikal dan kecerdasan mental.

“Saya berharap pertandingan ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi mencungkil lebih ramai bakat baru dalam golongan remaja dalam sukan badminton seterusnya membuka peluang kepada mereka untuk menempa nama ke peringkat antarabangsa,” katanya.