Pengunjung : 38231 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Rayu sumbangan kos rawatan anak

KAMPUNG TANAH MERAH – Sepasang suami isteri merayu sumbangan daripada mana-mana pihak kepada anaknya yang menghidap penyakit kronik dan memerlukan kos rawatan dengan segera.

Mohd Arif Rusli, 12, dimaklumkan oleh doktor rawatan tradisional bahawa dia mengalami masalah kebocoran buah pinggang.

Mohd Arif tidak boleh berjalan ketika berumur 9 tahun dan kini lebih setahun dia tidak boleh berjalan dan hanya mengharapkan kerusi roda.

Bapanya, Rusli Othman, 40, berkata, dia cuba mendapatkan rawatan daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun pihak hospital memaklumkan penyakit yang dihidapi anaknya itu masih tidak dapat dikenal pasti.

“Saya bimbang apabila pihak hospital memaklumkan bahawa jangka hayat anak saya hidup adalah pendek dan apabila saya merujuk kepada beberapa hospital kerajaan perkara yang sama dimaklumkan.

“Saya tidak mahu berdiam diri dan ingin mencuba rawatan tradisional sarang burung yang didakwa mampu menyembuhkan penyakit itu. Namun, kos rawatan untuk membeli sarang burung berkenaan terlalu tinggi iaitu hampir RM15,000,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Menurutnya, dia menetap di Kuala Lumpur dan kini baru sahaja pulang untuk tinggal di kampung dan masih tidak mempunyai apa-apa pekerjaan.

“Saya hanya menumpang di rumah bapa bersama 13 ahli keluarga kerana tidak mempunyai rumah sendiri,” katanya.

Rusli berkata, dia hanya mengharapkan pendapatan ibu yang menjual kuih bagi menyara mereka sekeluarga.

Sementara itu, isterinya Eida Yusof, 38, berkata, dia tidak dapat bekerja kerana terpaksa menguruskan anaknya itu dan anak sulungnya, Nurul Izatie, 13, yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) serta memerlukan pengurusan selalu.

Eida berkata, anaknya itu kini sedang belajar di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah Pendang atas belas ihsan Guru Besar sekolah itu yang menyediakan bilik khas untuk anaknya belajar.

Keluarga berkenaan meluahkan rasa lega setelah Sinar Harian membawa masalah mereka kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Pendang apabila pihak JKM memaklumkan kedua anaknya itu bakal memperoleh bantuan bulanan.

Pegawai Masyarakat daerah Pendang, Azhar Ismail berkata, setelah meneliti masalah ini, pihak JKM akan memproses bantuan bulanan pesakit kronik secepat mungkin sebanyak RM300 sebulan.

“Bantuan wang bulanan ini kemungkinan akan diperoleh pada bulan Mac nanti agar dapat meringankan beban mereka.

“Memandangkan anak sulung sepasang suami isteri ini juga OKU, pihak JKM akan mengeluarkan kad OKU agar Kementerian Pendidikan dapat memberi bantuan bulanan sebanyak RM150,” katanya.