Pengunjung : 13635 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Media perlu seimbang lapor berita

PADANG BESAR - Media perlu lebih seimbang dalam menyampaikan laporan agar tidak mencetuskan kemarahan atau memperbesar-besarkan sesuatu isu hingga menimbulkan aib yang semestinya ditegah dalam Islam.

Ketua Pemuda Pas negeri, Yaakob Abu Seman berkata, walaupun terdapat media arus perdana yang kuat melaporkan di sebelah pihak sahaja namun mereka tidak seharusnya melaporkan sesuatu secara tidak berasas.

Menurutnya, rakyat tidak lagi mudah terpedaya dengan media cetak yang dipelopori oleh kerajaan kerana teknologi maklumat kini semakin meluas malah sebarannya lebih telus dan terbuka.

“Saya percaya, sedikit masa lagi, rakyat tidak lagi membaca media cetak sebaliknya memilih akhbar ‘online’ dan beberapa laman yang lain kerana lebih bersifat neutral.

“Pemikiran rakyat sudah pun terbukti terbuka dan lebih minat untuk mencari berita yang memaparkan kebenaran dan seimbang daripada hanya bersifat pro kepada sebelah pihak sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yaakob berkata, peranan yang dimainkan media perlu lebih profesional terutama berkaitan isu parti politik dan tidak hanya menjadikan media sebagai pentas untuk menuding jari atau menyalahkan antara satu sama lain.

Katanya, media adalah saluran yang penting kepada masyarakat dan tidak perlu menambahkan lagi beban fikiran rakyat dengan masalah remeh.

“Masalah kecil pun disiarkan dalam media malah diperbesarkan untuk tatapan umum sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik.

“Saya tidak tahu sama ada ia disengajakan atau ada pihak yang cuba untuk melihat kejatuhan sesebuah parti,” katanya.

Beliau berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dan menerima 100 peratus apa yang disiarkan dalam media, sebaliknya berfikir dan menilai sendiri akan laporannya dengan sebaik mungkin.