Pengunjung : 4137 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Jangan ambil mudah jaga kesihatan

TAMAN PELANGI - Kesedaran dalam kalangan wanita terhadap penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan perlu dititikberatkan sejak usia muda bagi mengekalkan kualiti kesihatan yang baik.

Naib Pengerusi Pakatan Tiga Taman (P3T), Asiah Othman, berkata, untuk itu, pihaknya mengadakan projek khas dengan kerjasama Jabatan Kesihatan daerah untuk turun padang bersama penduduk sebagai memberi kemudahan kepada mereka menjalani pemeriksaan.

Menurutnya, pendedahan itu khususnya diberikan kepada golongan wanita sebagai alternatif kepada mereka yang mempunyai masa yang terhad untuk mengunjungi klinik dan hospital bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Apa yang cuba kami bawa adalah penekanan aspek penjagaan kesihatan diri dalam kalangan wanita di kawasan itu yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

“Secara tidak langsung, program itu merupakan kemudahan bagi mereka untuk mendapatkan rawatan secara terus dan percuma,” katanya ketika ditemui pada Program Sayangi Diri Anda dan Sepetang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), di sini kelmarin.

Katanya, objektif program yang julung kali diadakan oleh P3T itu adalah sebagai memberikan input berguna dalam penjagaan kesihatan selain masyarakat dapat menghargai kesihatan diri.

Asiah berkata, kombinasi dari dua kawasan penempatan yang berbeza iaitu Kampung Imam dan taman perumahan berhampiran merupakan petanda baik ke arah ikatan perpaduan masyarakat setempat.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Saad Man; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Kubang Pasu, Datuk Khalidah Adibah Ayob dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKKP) Kampung Imam, Saad Abd Rahman.

Penduduk, Che Bedah Chik, 41, berkata, peranan yang dimainkan P3T itu merupakan langkah positif ke arah menyatukan masyarakat terutamanya golongan wanita.

Menurutnya, beberapa agensi seperti Jabatan Kesihatan dan JKM yang turut turun padang memudahkan masyarakat setempat mendapat perkhidmatan kesihatan itu.

“Program ini adalah satu pendekatan yang bagus untuk masyarakat setempat khususnya wanita kerana saling dapat berinteraksi antara satu sama lain, mereka berpeluang memanfaatkannya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, kekangan masa dan tugas sebagai seorang suri rumah kadang kala menyebabkan golongan wanita memandang mudah terhadap penjagaan kesihatan diri.