Pengunjung : 2037 Jumaat 12-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Pekan Melayu, Cina aset pelancongan berharga

ALOR SETAR- Dua pekan lama yang popular di bandar raya ini, Pekan Melayu dan Pekan Cina perlu diberi perhatian sebagai salah satu aset pelancongan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga, Dr Cheah Soon Hai berkata, kemeriahan Pekan Melayu dan Pekan Cina jelas kelihatan apabila tiba musim perayaan terutama bagi sambutan Tahun Baru Cina.

Menurutnya, kemeriahan itu perlu dikekalkan, bukan hanya pada musim perayaan malah pada setiap masa bagi mengalakkan lebih ramai pengunjung datang ke Kedah sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya harap pembangunan akan dilakukan di Pekan Melayu dan Pekan Cina supaya ia dapat menarik pengunjung tempatan dan luar negara datang ke sini kerana ia bukan sahaja menarik malah mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

“Kawasan yang strategik ini dapat dibangunkan semula bagi mengembalikan kegemilangan zaman dahulu di mana lokasi ini menjadi pusat perniagaan yang sangat aktif dan meriah,”katanya kepada Sinar Harian selepas melawat Karnival Tahun Baru Cina, di sini.

Dr Cheah berkata, tempat bersejarah itu juga dapat memberi peluang kepada semua peniaga, Melayu dan Cina berinteraksi dan berniaga dalam suasana harmoni dan muhibah.

Menurutnya, pembangunan semula Pekan Melayu dan Pekan Cina mampu memberikan impak yang besar kepada semua, bukan sahaja jalinan kaum yang dapat disemai malah dapat meningkatkan ekonomi negeri.

“Lebih ramai pengunjung mahupun pelancong luar negara datang ke sini, ia memberi gambaran bahawa Kedah adalah antara negeri yang kaya dengan khazanah dan tempat bersejarah.

“Malah keunikan yang ada pada Pekan Melayu dan Pekan Cina ini perlu dimajukan supaya ia tidak dibiarkan musnah begitu sahaja.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat membangunkan semula suasana muhibah di Pekan Melayu dan Pekan Cina ini dan ia sangat bermanfaat selain memberi peluang kepada peniaga di bandar raya ini menambah sumber pendapatan mereka melalui aktiviti perniagaan dan sebagainya,”katanya.