Pengunjung : 16627 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Keputusan rumah terbersih diumum

KAMPUNG KABU 10 BAWAH – Sebanyak 17 buah rumah bertanding pada pertandingan kebersihan kawasan rumah, landskap dan kediaman yang diadili wakil Pejabat Daerah Yan, Pejabat Kesihatan Daerah Yan dan Penghulu Mukim Sungai Daun.

Rumah yang terlibat mula diadili pada 30 Januari lalu dan majlis pengumuman pemenangnya diumumkan kelmarin di pekarangan rumah Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung kabu 10 Bawah.

Daripada 17 buah rumah itu, lapan dipilih sebagai pemenang pertandingan kebersihan kawasan rumah, landskap dan kediaman.

Pertandingan itu adalah inisiatif yang diambil pihak MKK kampung berkenaan dan mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah bagi membendung pembiakan nyamuk Aedes.

Pada majlis itu juga, cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.

Pengerusi MKK Kampung Kabu 10 Bawah, Ramli Ahmad, dia bersama ahli jawatankuasa berusaha sendiri dalam mendapatkan sumbangan bagi menyempurnakan majlis pengumuman pemenang pertandingan itu.

“Hadiah untuk pertandingan kebersihan rumah dan hadiah cabutan bertuah adalah merupakan tajaan dari banyak pihak sama ada dari orang perseorangan dan organisasi. Kami berasa bertuah kerana banyak pihak sudi untuk turut sama menjayakan program ini sehingga berhasil dengan meriah.

“Pertandingan ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kampung mengutamakan kebersihan sekali gus dapat sama-sama membendung pembiakan nyamuk Aedes dan mengelakkan pencemaran alam,” katanya.

Menurutnya, program yang julung kali diadakan itu kemungkinan akan menjadi acara tahunan kampung berkenaan memandangkan kepada sambutan yang diberikan penduduk kampung.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar yang turut hadir bersama isteri. Kehadiran tetamu dianggarkan kira-kira 80 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Pada majlis berkenaan, kediaman Abdul Hamid Ahmad telah mendapat tempat pertama dengan markah 264 diikuti Ramlah Awang dengan markah 262 dan tempat ketiga, Ng Kim Choi yang mendapat markah 256.