Pengunjung : 35224 Selasa 16-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Penduduk hargai kerjasama TNB

KAMPUNG TOK WENG – Masalah membabitkan bekalan tenaga elektrik yang sering tergendala diatasi serta merta setelah pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi sepenuh perhatian kepada setiap aduan yang dikemukakan penduduk.

Seorang penduduk, Abdul Halim Non, 38, berkata, mereka menghadapi masalah bekalan elektrik yang sering terputus berikutan kabel elektrik yang kedudukannya di celah rimbunan pohon buluh manakala kabel dan tiang elektrik yang sudah lama.

“Penduduk mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana selepas aduan dibuat, mereka datang dengan serta merta menyelesaikan masalah itu.

“TNB juga telah memasang tiang baru di tempat yang lebih selamat dan buat masa ini tiada apa-apa masalah lagi yang mengganggu,” katanya.

Menurutnya, ini adalah salah satu sikap tenaga kerja TNB yang harus diberikan penghargaan dan dicontohi agensi lain bagi memantapkan lagi perkhidmatan kepada pengguna pada masa akan datang.

Rozana Ahmad, 36, berkata, jika masalah diadukan secara betul, perkara berkenaan akan selesai dengan segera.

“Bagi pihak penduduk kampung juga, kami menghargai kerjasama yang diberikan TNB.

“Bukan setakat menukar kabel namun tiang-tiang lama juga ditukar baru dan sememangnya kami semua sangat berpuas hati,” katanya.