Pengunjung : 25781 Rabu 10-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Warga emas rayu bantuan JKM

SIDAM KANAN - Seorang warga emas berusia hampir 80 tahun di Kampung Gajah Merangkak di sini, kini hidup susah meminta jasa baik pihak berkenaan bantu mengurangkan beban yang ditanggung sejak 30 tahun.

Habsah Said yang tinggal bersama anak dan cucu di rumahnya yang usang itu merayu perhatian dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Pusat Zakat

Menurutnya, pendapatan diterima anaknya yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan tidak mencukupi untuk menampung keperluan mereka lima beranak.

“Saya minta kerjasama Jabatan untuk memberikan bantuan kewangan dan membaiki rumah ini.

“Sebelum ini ada beberapa pihak yang datang membuat bancian dan menangkap gambar rumah kami tetapi sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil,” katanya ketika ditemui semalam.

Habsah berkata, rumah yang didiaminya berdinding kayu semakin reput manakala bahagian atap rosak teruk.

Pengerusi Majlis Ketua Komuniti (MKK) kawasan itu, Tajul Darus Sudin berkata, permohonan untuk membaik pulih rumah dibuat pada April tahun lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang jawapan.

Menurutnya, beliau sedar kedudukan Kampung Gajah Merangkak terletak agak jauh dari bandar Kulim, tetapi pihak jabatan seharusnya melihat sendiri bagaimana kehidupan penduduk kurang berkemampuan di situ.

“Sehingga kini kebanyakan rumah di kampung itu memerlukan bantuan baik pulih kerana mereka tidak mampu.

“Jabatan terbabit harus peka dengan masalah rakyat. Masalah kemiskinan seharusnya ditangani sejajar dengan kehendak kerajaan menjadikan kemiskinan sifar. Kebanyakan penduduk hanya bekerja kampung dan pendapatan mereka tidak menentu,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membaiki lampu jalan dan jalan rosak di kampung itu setelah Sinar Harian mengetengahkan masalah itu tahun lalu.