Pengunjung : 16894 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
"Susah, tidak faham Bahasa Melayu"


"Susah, tidak faham Bahasa Melayu"

MOHD IDROS MOHD ALI



GEORGETOWN - Tindakan Timbalan Speaker, Tan Hock Leong menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim hanya kerana mengeluarkan perkataan “dua tiga kerat” menjadi bahan ketawa orang ramai sekarang ini.

Azhar berkata, orang ramai kini sudah dapat melihat sendiri keupayaan Hock Leong menguasai Bahasa Melayu serta kewibawaannya untuk berlaku adil ketika mengendalikan urusan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), baru-baru ini.

“Sesiapa sahaja yang memahami Bahasa Melayu boleh memberi tafsiran mengenai makna ungkapan itu. Ia sama sekali tidak membawa makna yang lucah seperti yang ditafsirkan oleh Timbalan Speaker.

“Apa yang menyakitkan hati dengan ungkapan itu. Itulah masalahnya kalau seseorang itu tidak faham dan cuba membuat tafsiran sendiri,” katanya sambil berharap kejadian seperti itu berulang lagi kerana secara langsung ia menjatuhkan maruah DUN itu sendiri.

Menurutnya, selepas kejadian itu, beliau menerima banyak panggilan telefon daripada rakan-rakan yang mempersoalkan motif sebenar penggantungannya daripada menghadiri persidangan DUN.

“Mereka sebenarnya mahu menutup mulut saya daripada mendedahkan kepincangan yang berlaku. Apabila sedar melakukan kesilapan, mereka mencari helah lain termasuk menimbulkan pula isu saya menunjukkan punggung di dalam DUN.

“Akhirnya mereka menggantung saya sekali lagi untuk ‘menghalalkan’ tindakan pertama yang dipersoalkan banyak pihak,” katanya.

Beliau berkata, kini ungkapan itu menjadi bahan jenaka semua orang kerana dianggap sesuatu yang melucukan akibat tindakan Hock Leong itu.

Azhar juga mempersoalkan motif sebenar tindakan pihak tertentu memasukkan video klip yang memaparkan gambarnya sedang menunjukkan punggung ke dalam “U-Tube”.

“Apa tujuan mereka berbuat demikian. Ini tidak lain adalah untuk memalukan saya dengan harapan satu dunia dapat melihat gelagat saya. Inikah yang dinamakan konsep amar makruf nahi mungkar.

“Macam mana mereka boleh berbuat demikian kerana semua visual itu adalah hak cipta Kerajaan Negeri dan hanya digunakan untuk tujuan dokumentasi.

“Adakah mereka boleh berbuat sesuka hati dengan hak cipta Kerajaan Negeri. Mereka sebenarnya terdedah kepada tindakan undang-undang dengan menyiarkan video klip itu kerana cuba memalukan orang lain,” katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana rakyat dapat menilai kredibiliti Kerajaan Negeri yang kononnya mengamalkan dasar terbuka melalui CAT.

“Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah sebuah kerajaan yang zalim. Mereka sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Inilah kerajaan yang suka menipu rakyat.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan kerana Ketua Menteri, Lim Guan Eng pun sebenarnya adalah raja putar belit. Penjelasannya mengenai sesuatu isu hanya sekerat dan tidak penuh. Beliau hanya ambil ungkapan atau frasa yang menyebelahinya manakala yang lain disembunyikan daripada pengetahuan orang ramai untuk menimbulkan tanggapan negatif kepada pihak yang satu lagi,” katanya.