SEBAGAIMANA namanya, Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam merupakan pusat sehenti bagi penggemar dunia permotoran berikutan banyak tersedia premis aksesori dan modifikasi kenderaan. Sementara bagi kaki-kaki pancing sekitar Lembah Kelang dan Shah Alam khususnya, Dataran Otomobil Seksyen 15 menjadi lokasi pilihan kerana di sinilah letaknya sebuah premis atau kedai pancing popular, Fisher Tackles.

Antara pemancing yang sering berkunjung ke Fisher Tackles ialah Suffian Mahmud yang memiliki kemahiran menyelenggara dan membaik pulih kekili memancing. Berikutan kekangan masa untuk melayan permintaan pelanggan bagi membaik pulih kekili, Loh Mun Seng (pemilik Fisher Tackles) atau lebih dikenali Ahseng memberi kepercayaan kepada Suffian untuk membaik pulih kekili pelanggannya. Bermula dari situlah tertubuhnya Under15Roof - kios muafakat anglers.

“Saya mengamalkan konsep direct services,” ujar Suffian kepada Sisipan Umpan tentang kelebihan servis perkhidmatan yang beliau tawarkan.

“Maksudnya, pemancing boleh bawa kekili dan lihat sendiri apa yang saya lakukan pada kekili tersebut. Apa-apa kerosakan pelanggan boleh lihat sendiri dan boleh pilih sendiri alat ganti yang ingin digunakan.”

Suffian (kiri) bersama pembantu tekun dengan kerja yang dilakukan.

Menurut Sufian lagi, sudah lebih setahun beliau mengusahakan khidmat servis membaik pulih kekili ini hampir setiap malam bermula dari jam sembilan malam sehinggalah jam tiga atau empat pagi.

Pada mula beliau hanya bersendirian dan bermula dengan sebuah meja sahaja. Hari ini, tapak tersebut turut menjadi sumber pendapatan sampingan rakan-rakan lain sama ada menjadi pembantu beliau atau menawarkan perkhidmatan lain yang bersangkut dengan dunia memancing seperti jualan baju memancing terpakai dan mengecat semula kekili.

Sementara bagi Mohamad Zufayri Azmi, beliau sama sekali tidak menyesal meninggalkan kerjaya sebagai chef di bahagian artistik dan duduk di bawah bumbung Under15Roof dengan menawarkan khidmat mengecat semula semula atau modifikasi kekili.

“Setakat ini saya berjaya memperoleh pelanggan dari Surabaya dan Singapura. Saya percaya custom painted reels ini akan menjadi fenomena di negara kita sebagaimana di Jepun suatu hari nanti.”