PERTANDINGAN memancing Cabaran Tutup Tirai 2017 Seri Bayu Tekala yang berlangsung di kolam memancing Seri Bayu Tekala, Semenyih yang berlangsung Ahad lalu ternyata menerima sambutan hangat dari para pemancing serata tempat bagi merebut RM80,000 tunai sebagai ganjaran tempat pertama.

Pertandingan yang bermula dalam cuaca baik menyaksikan ikan-ikan lebih agresif menyambut umpan yang dilabuhkan sedari awal pertandingan dimulakan pada jam 8.30 pagi. Ia dibuktikan apabila tangkapan ke-12 yang dibawa ke meja timbang pada jam 8.43 pagi, atau kira-kira selepas 13 minit pertandingan bermula merupakan spesies patin seberat 14.305 kilogram.

Hasil pancingan peserta yang mendaftarkan nama sebagai SARIP DOL yang datang dari Seremban itu bolehlah dianggap sebagai saiz podium meskipun belum pasti bakal menduduki juara.

Tambahan pula jika dibandingkan dengan pertandingan yang dilangsungkan pada bulan November lalu, spesimen yang muncul sebagai juara adalah seberat 16.665 kg dan tempat kedua pula seberat 14.805 kg.

Justeru para peserta lainnya masih berpeluang cerah untuk memintas.

Namun, sehingga tamat pertandingan pada jam 1.30 petang menyaksikan tiada peserta yang berjaya mendaratkan spesimen melebihi 14.302 kg.

Spesimen kedua terberat dinaikkan oleh peserta yang mendaftarkan nama sebagai MANDO 6 dari Sungai Buluh dengan berat 13.785 kg.

Sementara MANDO 5 yang juga dari Sungai Buloh berada di podium ketiga dengan tangkapan spesimen patin seberat 12.900 kg.

Tamat pertandingan menyaksikan SARIP DOL kekal di puncak podium dan membawa pulang ganjaran tunai RM80,000 yang merupakan hadiah tempat pertama tertinggi yang pernah ditawarkan oleh Kolam Seri Bayu Tekala.

Menurut Faizal Khan selaku pengurus bersama kolam memancing Seri Bayu Tekala selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, pihak kolam akan menganjurkan pertandingan memancing Cabaran Malam Minggu sempena penutup tirai tahun 2017 pada 30 Disember nanti.