BOLEH dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan mengisi masa tersebut dengan aktiviti memancing. Sekiranya pada minggu tersebut ada pertandingan memancing berdekatan, maka saya akan sertai pertandingan tersebut. Sekiranya tiada, maka saya akan isikan dengan aktiviti memancing sama ada memancing kolam air tawar berbayar, sungai atau juga lombong. Yang pasti, ia ialah aktiviti memancing.

Baru-baru ini, kira-kira dua bulan lalu, saya dipelawa oleh seorang rakan untuk menyertai kumpulannya memancing di kelong. Walau pun ia bukanlah jenis pancingan yang selalu saya lakukan, tapi saya gemar juga pancingan air masin. Cuma, disebabkan lebih menumpukan perhatian pada pancingan air tawar maka peralatan pancingan air tawar sahajalah yang saya miliki.

Kerapu boron juvenil yang merupakan tangkapan paling bernilai.

Trip memancing di kelong atau lebih tepat lagi di Kelong Tok Ram, Pasir Panjang, Port Dickson ini dianjurkan oleh kelab memancing Group Nelayan Kita. Group Nelayan Kita sebenarnya ialah kelab  memancing yang terdiri daripada gabungan guru sekolah dan guru yang sudah bersara. Ia sebuah kelab memancing yang aktif juga dari Lenggeng, Negeri Sembilan. Bagi trip ke kelong ini seramai lapan orang ahli turut serta atau mengambil bahagian. Walau bagaimana pun trip ini bukanlah trip yang terlalu beria sangat, sebaliknya lebih kepada konsep bersantai sahaja.

Sepasang ketuka dinaikkan serentak.

Rombongan kami seramai sembilan orang tiba di jeti Kg. Telok, Pasir Panjang kira-kira jam 6.30 petang. Tanpa perlu menunggu lama kami terus sahaja dibawa ke kelong dengan menggunakan bot. Jarak jeti dengan kelong tidaklah jauh sangat sekitar 2 kilometer sahaja. Dalam beberapa minit sahaja kami sudah pun berada di atas kelong.

Selepas Maghrib, semua ahli rombongan bersiap sedia dengan peralatan memancing dan tidak sabar untuk memperoleh tangkapan pertama sebagai lesen pembuka tirai. Sememangnya kami tidak perlu menunggu lama untuk memperoleh hasilnya tangkapan. Kawasan sekitar kelong Tok Ram didiami pelbagai jenis ikan. Paling banyak tentu saja ikan gelama. Malah ikan gelamalah yang kebanyakannya menjadi lesen perkenalan kami di sini.

Selain gelama kami turut berjaya mendaratkan ikan gemang, senangin, gelama papan, ketuka, kerapu, duri, malong dan macam-macam lagi. Walaupun saiz ikannya tidaklah sebesar mana, hanya saiz yang biasa didaratkan di mana-mana kelong, namun ia begitu menghiburkan dan tidak bosan kerana ikan dinaikkan bersilih ganti.
Ikan malong yang boleh menyebabkan kacau-bilau jika dinaikkan waktu malam.

Jika tidak disebabkan cuaca kurang baik menjelang lewat malam dan hujan renyai, kemungkinan besar kami berjaga sehingga ke siang hari. Setelah berehat beberapa jam, awal-awal pagi kami telah bangun dan menyambung aktiviti memancing sehinggalah ke tengah hari. Setelah lewat tengah hari kami berkemas dan kembali ke jeti dengan penuh kegembiraan walaupun hasil yang kami bawa pulang tidaklah sebanyak mana.

Gemang merupakan spesies yang dicari-cari.