ALUMINIUM Boat Caster atau lebih dikenali sebagai ALUCAST merupakan kelab pemancing atau lebih tepat lagi sebuah komuniti pemancing terbesar dan tertua yang masih aktif di Malaysia.

Sebelum menggunakan nama Alucast, komuniti yang ditubuhkan kira-kira 28 tahun dahulu ini menggunakan beberapa nama. Antara nama lain yang masih menjadi sebutan ialah `Cakar Rimau’ dan `Geng Bot Besi’.

Menurut Azuan Man (52) selaku pengasas bersama komuniti ini, nama Alucast hanya wujud apabila ahli-ahli komuniti ini menyertai pertandingan memancing Boat On The Road kali pertama pada tahun 2010 dan perlu mendaftarkan nama kumpulan.

Hasil perbincangan bersama maka dari situlah munculnya nama Alucast dan terus diguna pakai hingga ke hari ini.

Biarpun tidak memenangi kejuaraan utama pada tahun tersebut namun pada tahun-tahun berikutnya nama Alucast bertakhta di puncak podium sehinggalah pertandingan tersebut direhatkan.

Bagaimana untuk menjadi ahli Alucast? Harus memiliki bot aluminium atau wajib seorang pengilat caster ? Menurut Azuan Man lagi Alucast sering disalah tafsir berikutan majoriti ahli yang memiliki bot pancing sendiri adalah bot aluminium.

Ia menggambarkan seolah-olah Alucast hanya disertai oleh pemancing-pemancing berstatus bangsawan.

“Untuk jadi ahli Alucast tak perlu bayar yuran atau bergelar pemancing profesional.

Toman merupakan spesis yang paling banyak didaratkan

Memadai hanya dengan menyertai acara-acara anjuran Alucast seperti Alucast Megatrip, Alucast Annual Gathering atau Alucast Alert (misi bantuan banjir) maka anda sudah pun bergelar ahli Alucast.”

Ketika musim monsun timur laut melanda pantai timur semenanjung pada lewat tahun 1990-an yang lalu, boleh dikatakan aktiviti memancing di Tasik Kenyir lumpuh sama sekali.

Tiada pelancong atau pemancing  yang berani mengambil risiko untuk melangsungkan aktiviti di Tasik Kenyir.

Begitu juga dengan nasib pengusaha rumah bot atau boat house yang kecil bilangannya ketika itu.

Tiada aktiviti bermakna tiada pendapatan. Berikutan daripada itulah Alucast mengambil inisiatif mengadakan trip memancing ketika musim tengkujuh.

Tanpa disangka trip waktu tengkujuh merupakan tempoh terbaik untuk memburu spesies sebarau. Sekali gus ia menjadi pencetus para pemancing lain untuk masuk ke Tasik Kenyir ketika musim dan tengkujuh. Dalam pada masa yang sama juga ia menjadi trip tahunan Alucast dengan nama Alucast Megatrip.

Tahun 2014 bolehlah dianggap sebagai tahun kemuncak Alucast Megatrip apabila merekodkan penyertaan ahli terbanyak.

Bahkan banyak rekod tercatat pada tahun tersebut termasuklah berhadapan dengan banjir besar.

Setelah lima hari beracara dalam hujan tanpa henti, sebahagian daripada ahli meneruskan misi bantuan banjir menerusi Alucast Alert pula.

Namun kegemilangan 2014 bagaikan terhenti pada 2015. Atas sebab tertentu yang tidak jelas, buat pertama kali Alucast Megatrip diteruskan sebaliknya diganti Trip Hapkor yang menyaksikan tiada penggunaan rumah bot dan menjadikan sebuah pulau di Tasik Kenyir sebagai tapak perkhemahan.

Senario yang sama berulang pada tahun 2016. Tiada Megatrip dan Trip Hapkor kembali ke pulau yang sama dengan jumlah penyertaan yang semakin berkurang terutamanya dari ahli-ahli muda Alucast.

Faktor tuah ternyata menyebelah ahli jawatankuasa program ini

Justeru, dengan objektif menghidupkan kembali kemeriahan Alucast Megatrip sekaligus mengeratkan lagi silaturahim antara ahli-ahli baharu dan ahli senior, sebahagian kecil ahli Alucast bertindak menyelaraskan sebuah trip memancing di Tasik Kenyir selama tiga hari dua malam dengan nama Pra Mega Alucast pada penghujung bulan lalu.

Bertemakan `Yang otai dihormati, budak baru nak up disayangi’, merupakan trip pra Alucast Megatrip yang diuruskan sepenuhnya oleh ahliahli muda ini menerima sambutan luar biasa bukan sahaja dari ahli baru dan ahli senior malah turut disertai oleh
pelopor aktiviti memancing di Tasik Kenyir.

Berbeza dengan suasana Megatrip terdahulu, trip pemanas badan atau Pra Mega Alucast berlangsung dengan begitu santai dan ceria.

Kebanyakan ahli tidak begitu taasub keluar memancing sebaliknya lebih banyak bersantai menghabiskan masa di rumah bot.

Dan walaupun trip ini dilangsungkan ketika luar musim memancing khususnya untuk memburu spesies sebarau namun para ahli senior masih mampu mempamerkan kepakarannya.

Secara tidak langsung ia menjadi panduan kepada ahli-ahli baharu nak up untuk dipraktikkan ketika Alucast Megatrip 2017 nanti