MENURUT kajian, terdapat beberapa spesies kelah daripada genus Tor di Malaysia iaitu Tor tambroides, Tor tambra dan Tor douronensis.

Sementara itu, tengas dan kejor juga merupakan spesies daripada keluarga yang sama namun spesies tersebut datang daripada genus Neolissochilus.

Spesies Tor tambroides yang biasa dijumpai di semenanjung Malaysia juga digelar sebagai kelah merah manakala T.douronensis pula merupakan kelah biru. gelaran tempatan kepada kelah merah dan kelah biru berdasarkan warna sisik pada badannya.

Di Sabah dan Sarawak pula, spesies kelah di sana juga dikenal pasti sebagai T.douronensis walaupun badannya lebih kehijauan. Di Sabah, ikan kelah juga digelar sebagai pelian sementara empurau merupakan gelaran ikan kelah di Sarawak.

Teknik memancing kelah

Umum tahu, memancing spesies yang sensitif ini sukar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Untuk memancing spesies ini, biasanya pemancing akan duduk dalam kumpulan yang mempunyai maksimum dua hingga hingga orang bagi setiap lubuk yang dipilih.

Semasa memancing, pergerakan besar akan cuba diminimumkan sebaik mungkin. Bercakap pun selalunya seakan berbisik.

Umpan yang paling popular ialah sawit masak dan sawit peram. Sawit peram dihasilkan dengan merendam sawit di dalam air selama 2 minggu sehingga berbau air sedikit berminyak. Sawit peram selalunya digunakan untuk merasuah, namun boleh juga dijadikan umpan.

Lubuk berpotensi untuk memancing kelah

Terdapat beberapa cara menggunakan umpan sawit masak. Antara yang popular ialah dengan memotong hirisan sawit dan dicangkukkan pada mata kail. Ada juga yang menggunakan sebiji sawit sebagai umpan dan dicangkukkan pada 2 atau 3 mata kail.

Selain itu, cara popular lain ialah ‘sawit sate’ iaitu mengambil hirisan sawit dan cangkukkan sehingga ke perambut lebih kurang sejengkal seakan-akan sate.

Umpan seperti anak ikan, hirisan isi ikan, cacing, katak dan ketam sungai yang dibakar juga mampu mendaratkan ikan kelah. Apabila kelah mula memakan umpan, ia akan terus memecut untuk cuba melepaskan diri. Justeru peralatan haruslah sesuai untuk menewaskannya.

Waktu makannya tidak tetap, tetapi biasanya suasana perlulah sunyi sepi. Jika memancing malam haruslah mengikat tali pada rod, kerana kes joran terjun lubuk memang kerap berlaku.