ANTARA umpan yang popular dan digemari oleh kaki pancing ialah umpan hidup. Namun kadangkala terdengar rungutan kaki pancing apabila umpan ikan atau udang yang di bawa tidak kuat tatkala mahu dicangkukkan pada mata kail. Air sudah ada, alat pengudaraan atau aerator dah dipasang, apa lagi yang tidak kena?

Memahami konsep pam udara

1. Apabila kuantiti umpan ikan atau udang hidup kita banyak, ianya memerlukan kawasan atau bekas simpanan yang lebih luas. Macam kita juga, 20-30 orang bersesak-sesak dalam satu bilik kecil, tak sanggup rasanya.

2.  Pam udara atau aerator sebenarnya tidak membekalkan oksigen. Ia hanya memberikan tekanan udara untuk membalikkan air agar berkocak dan apabila pergerakan air berlaku,di situlah terhasilnya oksigen terlarut bagi hidupan akuatik.

3  Jadi, apabila keluasan bekas simpanan semakin besar, anda memerlukan pam udara yang lebih besar atau boleh juga gunakan lebih dari satu pam udara yang bersaiz kecil.

Perhatikan pergerakan gelembung udara

Tip yang penting ialah dengan melihat pergerakan gelembung udara dan pergerakan air. Pam udara yang terlalu kuat di tambah dengan keluasan kawasan yang kecil tidak membantu umpan anda. Ini kerana arus yang kuat dari pam udara anda memaksa umpan untuk melawan arus dan memerlukan tenaga yang banyak.

Anda patut biarkan pam udara anda mengepam udara dengan lebih lembut dan umpan anda mampu bergerak secara kawanan. Ini membantu umpan seperti ikan menghasilkan pergerakan arus lembut merentasi insang mereka bagi membekalkan oksigen.

Perhatikan saiz gelembung udara Perhatikan saat gelembung udara anda bergerak ke permukaan air. Lihat berapa lama ia mengambil masa untuk sampai ke permukaan air.

Dengan memerhatikan gelembung udara ini, anda mampu mengubah keadaan umpan anda untuk 24 jam yang akan datang.

Satu teori untuk pam udara anda berkaitan gelembung udara ialah, semakin kecil gelembung udara, semakin lambat ia sampai ke permukaan air. Ini akan memberikan lebih masa bagi gelembung air itu untuk larut di dalam air bagi melarutkan oksigen.

Saiz bekas simpanan anda

Saiz bekas simpanan umpan hidup anda harus bersesuaian dengan kepadatan dan kuantitinya. Semakin tinggi kepadatannya, maka ia memerlukan keluasan yang lebih besar bagi mengelakkan umpan anda stress. Stress boleh menyebabkan umpan anda mati dalam jangka waktu yang singkat