BOLEH dikatakan hampir setiap tahun kebelakangan ini kami empat serangkai (Fakrul Razi, Khairul Nazmi, Kazrin dan saya sendiri) dari Semenanjung mengadakan trip memancing ke Borneo khususnya di Bintulu, Sarawak. Tujuan kami memancing sehingga ke Borneo bukanlah kecewa dengan perairan Semenanjung sudah tidak menghiburkan sebaliknya lebih kepada untuk bertemu dengan sahabat di sana yang kebetulan merupakan seorang operator bot memancing. Yang mana beliau turut menguruskan segala urusan kami di Bintulu. Atau dalam erti kata lainnya ia lebih menjurus kepada trip memancing sambil bersilaturahim.

Setelah membuat perancangan dan memilih tarikh sesuai, kami berempat terbang dari Semenanjung dan mendarat di Bintulu. Kami disambut oleh sahabat merangkap tekong memancing kami, Edel dan menginap di sebuah hotel di Medan Jaya sekitar setengah jam perjalanan ke jeti Tanjung Kidurung.

Jemuduk kedua yang didaratkan oleh Fakrul Razi.

Bot pancing milik Edel selesa dinaiki empat orang pemancing. Trip pancingan kami lebih kepada teknik light jigging dengan menjadikan kawasan pelantar minyak sebagai padang pancing yang memakan masa sekitar dua jam perjalanan dari jeti Tanjung Kidurong. Jig seberat 40 gm hingga 80 gm menjadi senjata kami bagi memburu spesies sasaran terutamanya tenggiri. Namun sesi memancing atau trip hari pertama kami dirundung malang akibat cuaca buruk. Akibat dipukul ribut, bot terpaksa ditambat pada pelantar minyak dan kami hanya mampu berserah dan pasrah kepada Tuhan.

Apa yang berlaku pada hari pertama tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan sesi memancing pada hari kedua. Alhamdulillah, cuaca pada hari kedua agak baik. Begitu juga sesi memancing yang berlangsung dengan baik sekali. Seolah-olah penghuni laut kelaparan selepas ribut, kami hampir terduduk kepenatan dihenyak pelbagai spesies ikan sukan atau game fish.

Saya menjadi pembuka tirai apabila jig seberat 40 gm dihenyak spesies yang tidak dikenal pasti. Tapi berdasarkan aksinya saya percaya ia bukanlah spesies sasaran kami iaitu tenggiri. Setelah bertarung seketika, akhirnya mangsa memperlihatkan dirinya. Jemuduk! Fakrul Razi turut sama terduduk dihenyak jemuduk. Namun aksi yang paling mengasyikkan apabila Khairul Nazmi bertarung dengan gerepoh.

Pisang-pisang atau rainbow runner yang didaratkan oleh Khairul Nazmi.

Dalam perjalanan pulang ke jeti pada sebelah malam kami sempat singgah di salah satu pelantar minyak lagi. Kali ini jig-jig kami diserbu gerombolan ikan cupak pula. Tak menang tangan kami bertarung dan membiarkan sahaja ikan melambak di atas bot. Sekali gus ia menjadi penamat trip memancing empat hari kami ke Borneo pada tahun ini dan tiada sebab untuk kami tidak kembali pada tahun hadapan.