MAHSEER adalah nama biasa bagi merujuk ikan dalam genus Tor, Neolissochilus dan Naziritor yang tergolong dalam keluarga besar Cyprinidae (ikan kap). Walau bagaimana pun nama mahseer lebih sinonim atau lebih menjurus kepada spesies genus Tor. Di negara kita, mahseer ini lebih merujuk kepada ikan kelah.

Pengkelasan taksonomi mahseer adalah mengelirukan berikutan variasi morfologi yang dipamerkan oleh spesies ini. Spesies pertama dari kumpulan (mahseer) ini telah secara saintifik digambarkan oleh Francis Buchanan-Hamilton pada tahun 1822, dan pertama kali disebut dalam cabaran memancing dalam Majalah Oriental Sporting pada tahun 1833, dan kemudiannya menjadi buruan kegemaran pemancing British yang menetap di India.

Ikan mahseer amat sinonim dengan negara India kerana nama mahseer itu sendiri dipetik dari bahasa Hindia iaitu mahasir atau ahaser. Sementara pemancing British yang menetap di India menamakan kumpulan ikan mahseer ini sebagai salmon India.

Terdapat banyak spesies dan sub spesies mahseer di India dan berikut merupakan spesies yang diiktiraf oleh saintis India.

1.Golden mahseer (kelah emas) atau nama binomialnya Tor putitora ditemui di sungai-sungai Himalaya.

2.Blue Fin mahseer atau Deccan mahseer (kelah biru) atau nama binomialnya Tor khudree pertama kali digambarkan oleh Sykes dari timur sungai Mota Mola Pune. Spesies ini juga ditemui di sungai-sungai lain di Deccan Plateau.

3.Red finned mahseer (kelah sirip merah) atau nama binomialnya Tor tor ditemui di sungai-sungai India tengah.

4.Chocolate mahseer atau copper mahseer (tengas?) atau nama binomialnya Neolissochilus hexagonolepis banyak terdapat di rantau Himalaya dan Semenanjung India.

5.Malabar Mahseer atau nama binomialnya Tor malabaricus ditemui di Ghats Barat

6.Orange fin mahseer atau humpback mahseer boleh ditemui di Sungai Cauvery dan cawangannya. Spesies ini masih belum diberi nama saintifik dan sebelum ini dirujuk sebagai Tor Mussalah, nama yang tidak diterima oleh beberapa ahli taksonomi. Hasil penyelidikan terkini menunjukkan bahawa spesies ini (yang terbesar daripada genus Tor mampu mencapai melebihi 45 kg) boleh menjadi terancam walaupun ia tidak lagi tertera pada Senarai Merah IUCN. spesies ini boleh layak untuk menjadi "fauna mega" oleh IUCN dan sangat memerlukan pemuliharaan dan pengurusan stoknya.