SEMPENA cuti umum tahun baharu 2018 lepas, kami dari kelab pemancing N9 (Negeri Sembilan) Angler Sport Fishing Team atau N9ASFT telah sepakat sekata mengadakan pertemuan dan memancing atau lebih dikenali dengan istilah komplot santai.

Memandangkan majoriti ahli N9ASFT lebih aktif dengan aktiviti memancing di kolam air tawar, maka lokasi komplot tentu sahaja dilangsungkan di kolam memancing air tawar. Walaupun N9ASFT merupakan kelab pemancing berasal dari Negeri Sembilan namun tidak kesemua ahli menetap di Negeri Sembilan. Malah ramai juga yang menetap di Lembah kelang.

Justeru pemilihan kolam sebagai lokasi komplot santai haruslah tepat bagi memudahkan seramai mungkin ahli hadir. Setelah bermuafakat akhirnya kami memilih kolam pancing Fish Valley (FV) yang terletak Semenyih, Kajang sebagai lokasinya. Ia dianggap adil bagi ahli dan menetap di Negeri Sembilan serta di Lembah Kelang untuk hadir.

Ahli kelab yang paling muda berjaya mendaratkan likoh emas.

Selain ia (FV) terletak di kawasan pertengahan antara Lembah Kelang dan Negeri sembilan, kami sebenarnya sudah pernah memancing di sini. Berbanding kolam-kolam lain, suasana memancing di FV lebih selesa kerana lazimnya tidak ramai pemancing yang tertumpu ke kolam yang tidak menawarkan apa-apa hadiah memancing. Justeru, kami boleh memancing dengan penuh santai tanpa sebarang tekanan.

Sebagaimana yang dijanjikan, kami seramai 13 orang dari N9ASFT yang mampu untuk hadir pada tarikh tersebut. Walaupun ia tidaklah seramai mana namun tidak bermakna sesi komplot santai yang kami langsungkan ini menjadi sunyi. Sebaliknya ia tetap meriah dengan aksi menarik ikan.

Sebahagian dari ahli kelab N9ASFT yang hadir.

Biar pun tidak semeriah dahulu namun ikan-ikan yang ada di kolam besar FV masih sudi menjamah pelbagai jenis umpan yang kami persembahkan. Hasil menggunakan umpan roti, dedak dan palet, dapat jugalah kami mendaratkan spesies patin, pacu, tongsan sisik halus, tongsan sisik kasar, keli, baung, jelawat dan lampam. Dan kesemua hasil tangkapan kami lepaskan kembali sebagai peraturan yang ditetapkan oleh pihak kolam.

Selain memancing, kami turut meraikan hari jadi salah seorang ahli yang hadir. Sesetengah kelab meraikannya dengan mencampaknya ke kolam namun kami meraikannya dengan lebih santai iaitu dengan mandi. Sejurus meraikan majlis mandi tepung tersebut, kami menamatkan sesi komplot santai pada 7 malam dan masing-masing kembali ke rumah masing-masing dengan wajah penuh keriangan dan kepuasan.