PERTANDINGAN memancing siri Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) bagi edisi keenam yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM28,400 untuk sirkuit terakhir akan bermula Ahad ini di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Setelah sembilan lokasi siri  jelajah diadakan, siri terakhir yang menawarkan dua buah motosikal, dua unit TV 32 inci dan satu bot getah sebagai hadiah cabutan bertuah disediakan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Zaharudin Basiron berpuas hati dengan penganjuran yang masuk tahun keenam itu berjaya menghimpunkan pelbagai bangsa, usia dan penglibatan keluarga yang menjadi penyokong setia.

“Banyak aktiviti sihat boleh dijalankan di taman-taman rekreasi dan pertandingan memancing adalah salah satu yang boleh dilaksanakan,” ujarnya pada majlis melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies di Taman Tasik Ampang Hilir.

Juara pertandingan itu akan membawa pulang wang tunai RM14,000, naib juara RM4,000 manakala pemenang tempat ketiga RM1,000.

Pemenang keempat RM400 manakala kelima hingga ke-10 akan menerima RM250 dan pemenang tempat ke-11 hingga 30 menerima RM150.

Peserta di tempat ke-31 hingga ke-50 akan menerima RM100 dan tempat ke=51 hingga ke-80 akan menerima RM50.

Hadiah wang tunai turut disediakan dalam kategori khas ikan keli terberat dan juara menerima hadiah RM400, naib juara RM300, ketiga RM200 dan keempat RM100. Paling menarik hadiah sapu bersih.

Yuran pertandingan ialah RM50 untuk sebatang joran dan peserta berpeluang mendapat kira-kira 40 hadiah cabutan bertuah antaranya dua buah motosikal dan tiga buah basikal turut disediakan.

Sebanyak 900 helai baju T dan 1300 botol minuman Oishi akan diberikan percuma kepada peserta terawal.

Pendaftaran boleh dibuat di meja urus setia pertandingan di khemah urus setia, Tasik Ampang Hilir Sabtu ini dari 12 tengah hari hingga 10 Malam dan hari pertandingan sebelum jam 6.30 pagi.

Maklumat lanjut boleh menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan  012-2846811.