MEMANG seronok apabila umpan telah mengena, tambah seronok bila dapat bertarung sepuasnya dengan ikan. Namun teknik dan tatacara untuk mengendalikan ikan yang akan didaratkan itu tidak ramai ambil kisah sangat.

Hakikatnya, cara pengendalian ikan amat penting tak kiralah sama ada untuk melepaskan kembali ikan tersebut atau dijadikan lauk.
 
1. Jika tiada penyauk, gunakanlah lip grip atau pencangkuk bibir ikan. Penggunaan lip grip amat bagus jika memancing ikan air tawar bergigi tajam seperti haruan dan toman. Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail, kemalangan juga dapat dikurangkan.
 
2. Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan  dan sesuai untuk mendaratkannya.  Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.
 
3. Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkannya dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah. Sebaiknya guna bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat.
 
4. Jika pancingan di laut, seeloknya gunalah gancu atau cangkuk. Apatah lagi jika yang ingin didaratkan itu bersaiz besar, bergigi tajam atau yang bersengat seperti ikan pari.
 
5. Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tapi harus diingat, bukan semua ikan boleh dipegang mulutnya seperti siakap atau sebarau. Sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum tunjuk hero.
 
6. Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah playar atau hook remover. Elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khususnya mengendalikan ikan bergigi tajam.

7. Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala, jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulangnya. Jika memegang ikan bersengat, peganglah bahagian kepalanya dengan cara yang betul.
 
8. Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam, sebaiknya putuskan saja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan.
 
9. Jika ingin berselfie bersama ikan, sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.