PERAIRAN Sedili merupakan lokasi pemburuan ikan tenggiri tersohor buat kaki-kaki pancing di selatan Malaysia. Pada trip kali ini kami telah memilih khidmat tekong Pak Mahmod. Tekong Pak Mahmod memang berpengalaman luas lebih 30 tahun. Antara lain kelebihannya, beliau mempunyai lubuk unjamnya sendiri lebih kurang dua jam perjalanan dari jeti.

Setibanya kami di lubuk unjam darat milik Pak Mahmod, umpan hidup dilabuhkan belakang bot. Kami memastikan drag kekili ditetapkan agar tidak terlalu ketat atau terlalu longgar bagi memudahkan umpan direntap ikan tenggiri. Ikan umpan dilepaskan lebih kurang 20 hingga 30 meter jauh dari bot.

Penggunaan perambut yang disarankan adalah mata kail saiz 1.0/2.0 berkembar menggunakan perambut dawai sejengkal dan disambungkan dengan perambut halimunan flourocarbon kira-kira lima hingga tujuh depa panjang berkekuatan 15-20 lb. Manakala tali utama tekong menyarankan agar menggunakan tali mono tanpa warna (tangsi) atau tali sulam berwarna hijau gelap sahaja yang berdiameter halus.

Aksi double strike oleh Ahmad Bohari dan Abdul Manap. Gambar kecil: Umpan selar hidup dilabuhkan dengan teknik berhanyut.

Setelah hampir satu jam menanti, saat yang ditunggu telah tiba, umpan yang dilabuhkan telah disambut ikan, rod pancing kami telah melendut akibat ditarik ikan tenggiri kasar, drag menjerit dan kekili memuntahkan tali dibawa lari oleh sang Tenggiri berskala 9-10 kilogram dan setelah 15 minit bertarung akhirnya ikan dapat didaratkan ke dalam bot. Kemudian satu per satu joran kami disambar dan ditarik ikan Tenggiri. Memang seronok dan riuh bot dibuat.

Tenggiri yang berjaya didaratkan oleh penulis.

Kami berpendapat bahawa, tenggiri di Sedili mungkin semakin bijak. Apa tidaknya ia cukup pandai dan sensitif terhadap cubaan menjeratnya. Kalau menggunakan set pancing kasar umpan tidak akan diusiknya. Oleh yang demikian kami menggunakan set ultra ringan dan halus untuk memperdayakan tenggiri  agar menyambar umpan. Perlu mempunyai ilmu untuk berhadapan dengannya, jika salah teknik melayan akan berlaku rabut, putus dan ia mudah culas, diludahkan semula umpan dengan mudah dan akhirnya pemancing akan melopong dan berputih mata.

Beberapa panduan atau tip untuk menduga tenggiri Sedili ialah pastikan tali sentiasa tegang semasa melayan larian tenggiri,  drag  terlalu longgar boleh menyebabkan tenggiri melepaskan diri. Ada ketikanya bila tengah bertarung dengan ikan, tiba-tiba tali rasa ringan seperti terlucut, kemungkinan besar ikan tenggiri telah memecut ke arah bot, ketika ini anda perlu bertindak pantas dengan mengarau dengan kadar laju supaya ikan tidak dapat memutuskan tali utama, perkara begini perlu diberi perhatian kerana sering terjadi.

Hardi dengan hasil yang didaratkan.