BILA sebut sahaja perihal tarpon atau di sini kami sebut ikan bulan Malaya, tak ramai pemancing yang pandang.

Atau ramai yang pandang sebelah mata sahaja. Mungkin sebab ia mudah didapati bahkan turut dianggap sebagai ikan sampah, malah dagingnya yang kurang sesuai untuk dijadikan menu serta banyak tulang maka ia seperti spesies yang dipinggirkan.

Namun bagi kaki-kaki caster ultralight, bulan atau tarpon ini merupakan salah satu spesies buruan utama kami.

Spesies yang galak menghentam gewang.

Memandangkan sekarang ini musim hujan, saya cuba jejakkan kaki ke kampung Segantang Garam,Merbok, Kedah. Di kampung Segantang Garam ini bolehlah dikatakan syurga sang bulan.

Berbekalkan kekili Shimano Curado 71HG yang saya padankan dengan joran Nemesis 2-6lb, saya cuba memujuk sang bulan.

Lazimnya ikan bulan dipujuk menggunakan softplastic lure atau sinking pencil lure yang bersaiz kecil (mikro), tetapi kali ini kawan saya yang merupakan pengusaha kedai pancing yang saya kenal mengesyorkan penggunaan gewang permukaan atau popper yang baharu tiba di kedai beliau.

Popper kecil yang beratnya cuma 3gram berwarna merah berkilau menjadi senjata percubaan. Ternyata ia begitu tidak menghampakan dan menerima sambutan luar biasa daripada sang bulan. 

Lesen selepas hujan reda.

Terkaman demi terkaman saya terima. Pada peringkat awal banyak terkaman yang diterima berakhir dengan kegagalan. Banyak yang lucut atau tidak lekat pada mata kail. Setelah saya tempo kayuhan dan daya strike,  berjaya juga saya daratkan sang bulan yang rata-ratanya berskala berat 400 hingga 800gram.

Saiz demikian mungkin kecil tetapi dalam skop pancingan ultra ringan, ia adalah saiz yang cukup menghiburkan.

Sesi casting hari di kampung Segantang Garam yang menghiburkan mendorong saya untuk kembali lagi keesokan harinya. Kali ini saya bawa bersama teman-teman sehobi. Namun nasib kami sedikit malang berikutan ketibaan kami disambut oleh hujan yang sangat lebat.

Popper harga bajet yang terbukti 'membunuh'.

Setelah hampir sejam menunggu penuh sabar hujan pun berhenti dan sang suria kembali memancar. Kata orang,ikan bulan lebih aktif selepas hujan. Dan ia terbukti benar dan hujan bukanlah membawa malang sebaliknya rahmat.

Balingan demi balingan gewang disambut rakus oleh sang bukan. Malah kali ini saiz bulan lebih kasar dan benar-benar menghiburkan kami.