TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Tapi tuah Md Rizal Ismail, datang bergolek tepat jam 9.05 pagi, Isnin lalu apabila joran 5 kaki miliknya berjaya menjerat sembilang 0.730 kilogram sekali gus muncul juara Pancing Santai Pantai Kelanang.

Tempat kedua disandang Simah, dari perkampungan Orang Asli Tongkah, yang menjinakkan gelama papan 0.500 kg, manakala Shariff Wahi berpuas hati di tempat ketiga dengan ikan sembilang 0.500 kg.

Kemenangan Simah dan Shariff ditentukan oleh masa tangkapan apabila kedua-duanya menaikkan ikan yang sama berat, namun Simah berjaya menaikkan tangkapannya lebih awal iaitu pada jam 8.10 pagi manakala Shariff pada jam 8.25 pagi.

Dengan kemenangan itu, Md Rizal membawa pulang RM7,000.00, Simah menerima RM3,000.00 manakala Shariff berpuas hati dengan RM1,000.00 serta hamper.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Adun Morib, Hasnul Baharuddin dan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dalam ucapan mereka, Hasnul dan Abdullah Sani membayangkan pertandingan memancing Pantai Kelanang akan menjadi acara tahunan, sambil membayangkan acara sama turut akan diadakan di Pantai Morib.

Ini berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk Kuala Langat, khususnya dari kawasan DUN Morib. Namun, menurut mereka yuran yang perlu dibayar bagi menyertai pertandingan memancing itu nanti dijamin tidak akan membebankan peserta.