KELAB Pemancing Wanita atau Women Anglers Club (WAC), sebuah kelab pemancing berdaftar yang ditubuhkan pada 2013, mengorak langkah awal dalam kalendar aktiviti 2018 dengan mengadakan Kelas & Bengkel Asas Memancing (Wanita) khusus untuk para ahlinya.

Kelas dan bengkel memancing anjuran WAC yang berlangsung Ahad lalu di Kompleks 3K Subang Jaya, Selangor ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Tourism Selangor, serta disokong oleh PureFishing Malaysia.

Menurut Presiden WAC, Normala Abd Rahman, kelas dan bengkel memancing ini merupakan program kali kedua yang dianjurkan oleh WAC namun anjuran kali ini lebih bermakna kerana berjaya mengumpulkan hampir 80 orang ahli berbanding program kali pertama.

Normala menyampaikan plag cenderahati kepada Adun Subang Jaya, Hanna Yeoh (kiri).

Lebih bermakna bagi beliau, program kali ini mendapat perhatian dari kerajaan negeri apabila Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh turun padang merasmikan program ini.

“Pada awalnya saya terkejut apabila dijemput ke majlis ini kerana saya tidak tahu kewujudan kelab seperti ini. Saya juga terkejut dengan sambutan yang diberikan kerana ada peserta datang daripada Sabah, Sarawak malah dari Singapura untuk sertai bengkel ini. Ini jelas menunjukkan terdapat keperluan dan minat khas wanita terhadap aktiviti memancing,” ujar Hannah Yeoh.

“Saya melihat ini merupakan aktiviti rekreasi yang baik dan saya telah cadangkan kepada kelab dan peserta supaya melanjutkan program ini untuk belia terutama mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai ketagihan terhadap aktiviti negatif.

YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya menyampaikan sijil kepada para peserta.

“Program berbentuk ‘mentorship’ mungkin sesuai, saya rasa wanita lebih mesra dan pendengar yang lebih baik, mungkin belia semasa memancing akan mula lebih terbuka dan mudah meluahkan apa yang terpendam,” katanya.

Program yang dilangsung bermula jam 9.00 pagi ini mendapat suntikan hebat dari tenaga pengajar profesional, Mejar Ismail Feisol dan pembantunya dari Persatuan Memancing Malaysia (PeMM). Selain ilmu memancing berbentuk teori, para peserta turut mendapat pendedahan berguna secara pratikal penggunaan alatan memancing dengan betul dan tepat.

Majlis penutup dan penyampaian sijil kepada para peserta program disempurnakan pula oleh Noraini Roslan, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Subang Jaya. Dalam ucapan penutupnya, Noraini sempat berpesan kepada seluruh pemancing akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar bagi kelestarian ikan-ikan spesies tempatan untuk generasi akan datang.