GEREPOH atau atau nama saintifiknya Caranx ignobilis merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae.

Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally, ikan yang mempunyai bentuk kepala curam yang kelihatan gagah dan sirip kaudal yang kuat sering menjadi obsesi kegilaan kaki pancing.

Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.

Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulau-pulau timur Afrika dan di utara Jepun.

Spesimen yang tertipu dengan umpan getah plastik

GT juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang.

Juvenil GT pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.

Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun.

Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus. GT dewasa juga sering berlegar dikawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya.

Kawasan berair cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.

Secara morfologi luaran ikan GT, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap.

GT yang didaratkan di perairan Lucornia

Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.

Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam. Sesetengah GT juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.

Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan GT. Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna

belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.

Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral.

Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan GT tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.

GT merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, GT umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.

Apabila dewasa atau matang, GT mampu mencapai berat 200lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian.

Apabila dewasa, biasanya GT akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.

Hasil popping di pelantar minyak

Ketika memburu, GT menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya.

Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya. Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.

Selalunya, diet utama GT ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, GT mampu bertukar lebih bengis dan licik.

Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut GT.

Selain itu, kelicikan GT juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. GT bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.