KES-kes kumpau atau hasil tidak memuaskan memang selalu kita dengari dari kaki pancing yang rajin memancing di kelong.

Namun, dari kes-kes sebegini, adakah ada di antara kita melakukan post-mortem mengapa perkara ini berlaku? Di sini dikongsikan beberapa tip dan persediaan untuk memancing di kawasan kelong:

BUAT KAJIAN MENGENAI KELONG TERSEBUT TERLEBIH DAHULU

Buat sedikit research mengenai kelong yang anda ingin pergi. Sekurang-kurangnya anda akan tahu struktur, kedalaman dan pelbagai perkara penting tentang kelong tersebut.

Selain itu, kaji juga spesies ikan yang ada di kelong berkenaan. Dari sini anda boleh dapatkan petua dan info umpan yang sesuai untuk memancing ikan yang ada di kelong tersebut.

PILIH WAKTU YANG SESUAI

Kebiasaannya keadaan air bani adalah masa yang paling sesuai untuk memancing di kelong. Ini kerana pada waktu berkenaan arus kurang laju dan banyak ikan akan bermain di sekitar kelong untuk mencari makanan.

Namun begitu, ini semua tertakluk kepada kelong yang ingin anda pergi. Lain kelong, lain kesesuaiannya.

MENYEDIAKAN PERALATAN MEMANCING YANG SECUKUPNYA

Pastikan peralatan dan tiada yang tertinggal. Ada juga mendengar kes pemancing yang sudah membawa joran, tetapi terlupa membawa kekili dan pelbagai peralatan yang lain.

Bila sudah jadi begini, jawabnya terpaksalah memancing hulur je.

Selain itu, penting juga bagi anda membawa joran spare. Iyalah, ada masanya kejadian tak diingini boleh berlaku dengan mudah.

Sekurang-kurangnya, jika kejadian seperti joran patah, joran jatuh laut dan lain-lain berlaku anda sudah ada back-up plan. Jangan lupa bawa appolo! Dan jangan sesekali lupa untuk membawa tong ikan berserta ais.

BAWA BEKALAN MAKANAN DAN MINUMAN SECUKUPNYA

Ini juga antara perkara yang paling penting untuk memancing di kelong. Iyalah, bukan semua kelong ada menyediakan khidmat makanan dan minuman.

Adalah seelok-eloknya jika anda menyediakan keperluan bekalan minuman dan makanan ini secukupnya sebelum naik ke kelong. Kalau tak, nanti ada pula yang tak dapat memancing akibat menahan lapar.

DAPATKAN ILMU DARI PEMILIK KELONG ATAU MEREKA YANG BERPENGALAMAN

Tidak cukup dengan hanya membuat research tentang kelong itu sahaja. Kadang-kadang adalah perlu juga untuk anda mendapatkan khidmat nasihat dari mereka yang arif tentang kawasan kelong yang hendak anda pergi.

Cungkil seberapa banyak rahsia dan petua untuk memancing di kawasan kelong berkenaan bagi mengelakkan kes-kes membangau ini.

JANGAN TERHAD KEPADA SATU TEKNIK SAHAJA, CUBA PELBAGAI

Jangan hanya fokus kepada pancingan bottom sahaja, sekali sekala cuba juga teknik yang berbeza seperti drifting, casting, jigging dan sebagainya (bergantung kepada jenis dan kedalaman kelong).

SEDIAKAN UMPAN SECUKUPNYA

Jangan lupa juga untuk membawa pelbagai jenis umpan yang berkemungkinan berkesan untuk memancing. Jangan bergantung harap kepada umpan hasil pancingan apollo sahaja yang belum tentu setiap masa ada.

JAGA TINGKAH LAKU DAN PERCAKAPAN

Penting bagi yang memancing kawasan kelong yang jauh dari tepian. Semasa di kelong silalah jaga adab, pertuturan dan tingkah laku anda. Ini bagi mengelakkan berlakunya kes-kes yang tidak diingini.

JAGA KEBERSIHAN

Amat penting juga bagi mendidik pemancing menjadi warga yang menjaga kebersihan. Jangan sesekali meninggalkan umpan yang lebih dan ikan-ikan yang kecil di kawasan kelong.

Dan janganlah juga membuang plastik atau sampah-sarap ke dalam laut. Jadilah warga yang bertanggungjawab dan menjaga alam sekitar kita.

UTAMAKAN KESELAMATAN

Paling penting untuk utamakan keselamatan diri anda. Pastikan anda kenal pasti barang di sekeliling anda yang boleh membantu jika musibah berlaku.

Mana tidaknya musibah seperti rebut, hujan lebat dan sebagainya berlaku tanpa kita duga. Pastikan diri dan harta benda anda selamat dari sebarang kecelakaan yang tidak diingini