“TAK lama lagi Liga Super akan kembali menjengah penyokong bola sepak negara ini namun belum pun saingan bermula nampaknya 'pertarungan' di luar padang lebih hangat daripada yang dijangka malahan memadamkan kehangatan keterujaan peminat menantikan keputusan Anugerah Puskas di Zurich sedikit masa lagi yang mungkin menyaksikan anak Malaysia naik ke pentas tertinggi bola sepak dunia. 

Tidak selesai dengan isu melibatkan Kafa dan sekarang ramai yang berteka teki mengenai calon Presiden FAM menjelang kongresnya tak lama lagi, tiba-tiba sebuah lagi persatuan mencipta dramanya tersendiri.

'Drama' dipentaskan ini agak pelik kerana kebiasaannya, seseorang presiden meletak jawatan atas dasar 'integriti' atau kebertanggungjawaban, tetapi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan atas sebab 'memprotes' ditujukan kepada ahli Exco sendiri yang didakwa tidak berwibawa dan pelbagai alasan lain  yang kemudian disusuli peletakan jawatan pengurus The Red Giants, Amiruddin Shari. 

Peminat mendesak keseluruhan Exco dirombak dan mungkin termasuklah presidennya, tetapi lain pula  terhasil. Exco lain masih 'tebal' dan mungkin 'kebal' di kerusi empuk masing-masing sedang peminat masih resah apakah kesudahan 'drama' ini.

Kemuncaknya ada pula cakap-cakap atau cadangan Selangor menarik diri. Saya sebenarnya was-was dengan cadangan penarikan diri ini. 

Ia dibuat berikutan keengganan kerajaan Selangor meneruskan bantuan kewangan kepada FAS dan apabila ia ditarik balik, seluruh Exco 'terkejut'. Adakah terkejut dengan tindakan drastik itu atau selama ini, FAS lena dibuai mimpi? Selangor bukanlah satu nama asing dalam bola sepak Malaysia.

Selangor adalah pelopor kepada saingan bola sepak di negara ini. Kesemua kejuaraan tempatan sudah dirasai, malahan Selangor sendiri pernah turun ke divisyen bawahan terutama ketika saingan Liga Semi Pro dan Profesional diperkenalkan.

Penyokong Selangor bukan sedikit, negeri ini sendiri adalah sebuah negeri maju. Seakan-akan agak mustahil untuk memperolehi dana bagi menaja FAS atau Selangor sendiri. Tetapi tiba-tiba ramai pula yang menjauhkan diri dengan Selangor. 

Bekas pemain Selangor bertaraf pemain kebangsaan juga sanggup memilih pasukan lain walaupun ada yang menjangkakan pemain itu akan menamatkan karier di negeri kelahiran mereka, namun segalanya meleset dan ini juga menjadi petunjuk betapa Selangor sudah ibarat 'retak menanti belah'.

Berbalik kepada peletakan jawatan Presiden FAS, saya sememangnya merasakan suatu yang pelik. Perlembagaan diubah sebelum ini semata-mata bagi membolehkan menteri besar dilantik atau dipilih secara automatik untuk memegangnya, tetapi presiden sendiri pula meletak jawatan dan meninggalkan yang lain dalam keadaan serba tidak keruan. 

Namun bagi siapa yang mengikuti perjalanan FAS, sudah boleh agak siapa sebenarnya watak sebenar yang mencorak FAS selama ini tanpa mengambil kira siapa pun menteri besar. Walaupun mereka mendakwa mereka berjaya mencapai 'Misi 33' dan beberapa kejuaraan lain, namun hakikatnya, FAS bermasalah.

Maka tampillah pula seorang lagi ahli politik menawarkan diri sebagai Presiden. Rasanya ramai yang tidak bersetuju dengan kehadiran orang politik dalam pengurusan bola sepak Selangor dan ini nyata tidak mengurangkan 'kebimbangan' atau kemarahan peminat.

 Namun sejarah membuktikan orang politik mampu menerajui bola sepak Selangor, tetapi mereka ini mempunyai jiwa yang besar dan ikhlas dan boleh nampak hasilnya selepas itu. Generasi selepas itu yang mencacatkan kebaikan yang mereka cipta sebelum ini. 

Ada yang menjadikan bola sepak sebagai landasan untuk 'naik' dalam hierarki sesebuah organisasi politik atau pentadbiran kerajaan. Inilah masalah bola sepak Selangor dan Malaysia amnya maka tidak hairanlah kita masih termangu-mangu mencari formula sedangkan negara lain sudah bercakap mengenai kejayaan tetapi kita masih bercakap mengenai perkara asas. Kesimpulannya, bola sepak Selangor harus diselamatkan tetapi bukannya 'tikus membaiki labu'. 

Seseorang perlu tampil menjadi moderator dan dalam hal ini saya berpendapat, pihak istana adalah yang terbaik malahan tidak keterlaluan untuk meminta Sultan Selangor campur tangan kerana rakyat Selangor tahu, baginda Tuanku Sultan adalah peminat nombor satu bola sepak Selangor. 

Bagi mereka yang sedang 'mendongak ke langit' dalam FAS, mungkin ini mesej paling jelas untuk anda berundur dan berilah peluang kepada yang cinta terhadap bola sepak Selangor dan lebih penting yang benar-benar layak. Rasanya tidak salah untuk menerapkan tenaga baharu dalam FAS bagi membolehkan Selangor kembali dihormati. Ingatlah, pada satu ketika, sebut sahaja 'Selangor' pasukan lawan akan gerun, tetapi kini 'Selangor' ibarat sebuah sejarah semata mata. Bagi saya, Selangor selamanya walau di mana kedudukannya, namun saya hanya seorang peminat marhaen....

 

 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.