KURANG 24 jam dari sekarang, bakal bermulalah saingan baharu Liga Malaysia (Liga-M) 2017 bagi skuad Liga Super Perak.

Pastinya tumpuan penyokong skuad The Bos Gaurus akan terarah kepada aksi sulung skuad bimbingan Karl Heinz Weigang itu apabila melayan kunjungan Pahang di gelanggang sendiri, malam ini.

Berdasarkan persiapan, skuad Kejor Yeop Skor dilihat tidak akan berdepan masalah bagi berdepan skuad Tok Gajah, apatah lagi dengan barisan pemain baharu skuad juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu.

Tambahan pula kesebelasan skuad Seladang pastinya akan turun dengan lebih ‘segar’ setelah mengikuti latihan ‘bina semangat’ di Lumut baru-baru ini, sebagai persiapan terakhir pasukan.

Jelas pihak pengurusan begitu serius dalam pembentukan skuad yang mantap musim ini setelah berjaya membawa masuk ramai pemain berwibawa musim ini.

Cuma diharapkan agar kesebelasan pemain tidak terlalu yakin bagi mengharungi perlawanan sulung malam ini hingga mengambil mudah cabaran pelawat.

Sudah pasti pelawat juga membuat persiapan rapi selain merencana percaturan terbaik bagi memerangkap Perak di hadapan penyokong sendiri.

Justeru, magis Weigang sekali lagi menjadi taruhan bagi membantu pasukan mencipta kejayaan sulung di gelanggang sendiri malam ini.

Yang penting, mereka (pemain) perlu bersedia sepenuhnya daripada segi fizikal, mental dan seterusnya mempamerkan aksi terbaik masing-masing dan bagi mencatat kemenangan penuh bermakna.