IBARAT menarik rambut dalam tepung, tepung tidak berombak rambut tidak putus."

Mungkin pepatah berkenaan sesuai menggambarkan persiapan Perak bagi mengharungi saingan musim baharu Liga Malaysia (Liga-M) 2017, kelak.

Dalam diam, skuad The Bos Gaurus itu sebenarnya semakin hampir menyediakan pasukan mantap apabila diberitakan hanya perlu mendapatkan seorang lagi pemain import  bagi melengkapkan kuota empat pemain import yang dibenarkan.

Ini ditambah dengan kemasukan beberapa pemain baharu selain bekas pemain skuad Kejor Yeop Skor itu yang berhijrah mewakili pasukan lain sebelum ini.

Nama-nama seperti Idris Ahmad, Shahrom Kalam, Khairul Amri Salehuddin, Mohd Hafiz Kamal, Jasazrin Jamaluddin,  Mohd Nazrin Nawi serta Mohd Nizad Ayub yang dikatakan bakal beraksi dengan skuad Seladang itu musim depan ternyata menggembirakan penyokong.

Ini ditambah dengan pertahanan import, Thiago Junio de Aquino yang dikekalkan selain mengikat bekas pemain Melaka United musim lalu, Yashir Armando Pinto Islame dan bekas pemain kebangsaan bawah 21 tahun Bulgaria, Vladislav Mirchev.

Ini turut menggambarkan betapa seriusnya pihak pengurusan untuk mengharungi saingan Liga M yang dijadualkan bermula 21 Januari depan.

Selain itu kelibat bekas penyerang PDRM musim lalu, Guilherme de Paula juga dikatakan berada di Ipoh, baru-baru ini.

Selain itu, diberitakan juga pihak pengurusan memberi kuasa penuh kepada ketua jurulatih Karl Heinz Weigang bagi memilih pemain import kali ini.

Sudah semestinya, magis jurulatih berkenaan sekali lagi ditagih bagi membawa masuk pemain-pemain import berwibawa dan seterusnya memacu pasukan mengecap kejayaan sebagaimana yang pernah dilakukannya hampir 20 tahun lalu apabila mengemudi Perak muncul juara Piala Malaysia 1998, 2000 dan terbaharu membawa pasukan menamatkan saingan pada kedudukan keenam Liga Super 2016.

Malah, Weigang juga pernah menyelamatkan Perak sebelum terjerumus ke saingan Liga Perdana pada musim 2014 lalu.

Justeru kepada semua penyokong, teruskanlah menyokong pasukan kerana sokongan anda begitu ditagih dalam usaha menyemarakkan lagi semangat kesebelasan pemain  untuk mencipta lebih banyak kejayaan musim ini.

Apa pun sudah pasti semua penyokong ternanti-nanti pengumuman kesebelasan sebenar skuad Perak musim depan dan yang pasti penyokong mahu menyaksikan Perak musim depan benar-benar MELETOP!

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.