PENYERANG import Kelantan, Blazhe Ilijoski kini mungkin boleh memasang impian baharu untuk bersaing memburu anugerah Kasut Emas selaku penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

Nama bekas penyerang kebangsaan Macedonia itu tiba-tiba melonjak selepas meledak empat gol ketika membantu skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQP TRW) membelasah jiran tetangga, Terengganu, 6-1 dalam saingan Liga Super, minggu lalu.  

Penyerang berusia 32 tahun itu kini mengetuai senarai penjaring terbanyak liga selepas 13 perlawanan dengan 11 gol mengatasi Francis Forkey Doe (Negeri Sembilan) serta dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz, masing-masing dengan 10 gol.

Apapun, berbaki sembilan perlawanan, Ilijoski atau nama ringkasnya Baze perlu kekal konsisten dan wajib menjaringkan gol dalam setiap pertemuan selepas ini sekiranya tidak mahu terlepas peluang menjadi pemain Macedonia pertama mendakap trofi Kasut Emas itu.
 
SATU PEMBELIAN MERUGIKAN

PEMBELIAN Ilijoski disifatkan satu kerugian oleh penyokong Kelantan selepas melihat penyerang kelahiran Skopje itu gagal mencipta sebarang jaringan dalam aksi kompetitif, awal musim ini.

Lebih memburukkan keadaan, penampilannya bersama bekas penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Dramane Troare cukup tumpul sekali gus membuatkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dikecam hebat gara-gara mengambil pemain itu tanpa melalui proses pengujian.

Situasi itu menyaksikan gandingan dua pemain berkenaan dilabelkan penyerang import paling mengecewakan pernah dimiliki skuad pantai timur itu meskipun mereka hadir ke Kota Bharu dengan reputasi cukup tinggi.
 
JARINGAN PERTAMA HADIR

JARINGAN sulung Ilijoski hanya hadir dalam kempen Piala FA apabila membantu pasukannya menundukkan UKM FC, 1-0 pada pusingan kedua kalah mati di Kota Bharu, 20 Februari lalu.

Selang enam hari kemudian, Ilijoski meledak dua gol ketika Kelantan mengikat Sarawak, 2-2 di gelanggang keramat mereka setelah sebelum itu dia gagal mengukir nama dalam dua pertemuan menentang Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ilijoski kemudian sekali lagi menggegar jaring lawan apabila dua gol awalnya membantu Kelantan menewaskan Pulau Pinang, 2-1, namun selepas itu dia terus tenggelam gara-gara kemerosotan prestasinya.

Penyerang yang pernah menyarung jersi Bangkok Glass dalam Liga Thailand itu sempat menjaringkan dua gol ketika Kelantan tewas 3-4 kepada Pahang dan dimalukan kekalahan 2-5 kepada Selangor di tempat sendiri, 21 Mei lalu.
 
TERSELAMAT DARIPADA PENYINGKIRAN

IA merupakan jaringan terakhirnya dan selepas itu Ilijoski tidak lagi mampu memberi sumbangan berkesan sebelum saingan Liga-M berehat panjang sehinggakan namanya timbul dalam cakap-cakap kedai kopi untuk disingkirkan oleh Kelantan.

Biarpun berdepan kritikan hebat, Ilijoski kekal tabah malah terselamat daripada penyingkiran selepas Troare dan seorang lagi pemain import Brazil, Jonatan Lucca digugurkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M), berakhir 15 Julai   lalu.

Pemain yang mencipta nama bersama Rabotnicki FC di awal kariernya itu kembali membalas kepercayaan pengurusan apabila garang merobek pintu gol Terengganu sehingga namanya kembali mendapat sanjungan penyokong Kelantan ketika ini.

Bertemu Pahang di Kota Bharu, malam ini, suka atau tidak Ilijoski perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk terus mencipta nama kerana dia sedar tiga pemain import mengekori rapat untuk memintasnya pada bila-bila masa dalam perebutan anugerah tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ISU penajaan dan pembaharuan keramat, Stadium Sultan Muhammad IV mewarnai perkembangan menarik bola sepak The Red Warriors sepanjang minggu lalu.
  • PELUANG The Red Warriors untuk mara ke saingan suku akhir kempen Piala Malaysia banyak bergantung pada pertemuan menentang Felda United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.
  • PENGURUS pasukan The Red Warriors, Azman Ibrahim melahirkan rasa kecewa atas kegagalan pemain Kelantan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Felda United.
  • PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa memberitahu masalah tunggakan gaji yang membelenggu pemain The Red Warriors sejak dua bulan lalu sudah diselesaikan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.