MALAYSIA terselamat daripada berdepan juara bertahan dan naib juara lebih awal, tetapi tetap getir apabila diundi sekumpulan dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2017 dengan lawan lebih berpengalaman seperti Iran, Bahrain dan China.

Hanya status tuan rumah dan berteman penyokong sendiri di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, Terengganu yang memberikannya sedikit kelebihan, namun reputasi juara 2013 dan 2006 milik Iran dan Bahrain bagaikan sudah menyempitkan peluang melepasi peringkat Kumpulan A itu.

Iran juga sudah enam kali layak ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai termasuk mara ke suku akhir 2013 dan 2015 manakala Bahrain mengumpul dua penampilan ke sana dengan pencapaian terbaiknya juga suku akhir di Rio de Janeiro, Brazil 2006.

Laluan getir Kumpulan A dalam kejohanan dari 4 hingga 11 Mac ini  juga tidak melupakan China, pemenang tempat keempat pada edisi 2006 dan 2008 yang turut berada di ranking kelapan Asia.

Malaysia bagaimanapun berpeluang cerah untuk mencatat satu keputusan positif apabila menentang Afghanistan kerana masing-masing dianggap kurang berpengalaman selain tidak mempunyai ranking semasa Asia.

Tuan rumah juga bakal berdepan negara Asia Barat itu pada 4 Mac diikuti menentang Iran dan Bahrain selang sehari serta China (8 Mac).

Sementara itu dalam undian Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC Kelapan ini diadakan di Rumah AFC, Bukit Jalil, Selasa lalu yang dikendalikan oleh Ketua Pertandingan Futsal dan  Bola Sepak Pantai konfederasi itu, Brian Johnson.

Juara dan naib juara edisi lalu di Doha 2015 iaitu Oman dan Jepun masing-masing diasingkan ke Kumpulan B (bersama Lubnan, Uzbekistan dan Thailand) dan C (dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Qatar).

Berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah menyertai Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC sejak diperkenalkan pada 2006, namun pernah beraksi dalam Kejohanan Dunia 1999 di Copacabana, Rio de Janeiro dengan dikalahkan Amerika Syarikat 7-2 dan Portugal 4-2.

Pengalaman lain hanyalah beraksi pada Sukan Pantai Asia di Bali 2008 dan Phuket 2014 dengan terkandas seawal peringkat kumpulan serta menjuarai Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2014 di Kuantan dengan menewaskan Vietnam 6-4.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BIARPUN berdepan dengan kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang belum berkesudahan, pengendali baharu Selangor, P Maniam tetap bertekad membawa The Red Giants sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super musim ini.
  • JARINGAN anak kelahiran Kedah, Mohd Faiz Subri yang dianggap melanggar hukum fizik tidak disambut majoriti masyarakat kita dengan tuntutan supaya menyelamatkan kawasan padang awam dan padang sekolah.
  • BEKAS penyerang skuad kebangsaan Lubnan, Mohammed Ghaddar melengkapkan kuota import The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirainya, pada 20 Januari ini.
  • KEJAYAAN sesebuah pasukan bola sepak tidak hanya bergantung kepada kemampuan pemainnya semata-mata, sebaliknya kepakaran yang dimiliki ketua jurulatihnya dalam menterjemahkan perjalanan skuad kendaliannya itu turut menjadi tunjang utama terhadap kecemerlangan mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.