KETIKA pasukan lain terus ghairah memancing pemain namun berlainan pula dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang dilihat ‘kurang berselera’ dalam membentuk pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.

Situasi tersebut sememangnya tidak sukar difahami apabila Kafa sendiri berada dalam keadaan dilema susulan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa selaku presiden badan induk bola sepak negeri itu, minggu lalu.

Ketiadaan tokoh yang terkenal dengan gelaran Bapa Pembangunan Bola Sepak Kelantan itu menyaksikan barisan kepimpinan tertinggi persatuan itu seperti hilang arah dalam memikirkan usaha untuk mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM15 juta.  

Umum mengetahui, Annuar yang mengemudi persatuan itu sejak lapan tahun lalu merupakan individu yang sentiasa bekerja keras saban tahun mencari sumber kewangan bagi membiayai perbelanjaan skuad pantai timur itu.

Peletakan jawatan mengejut supremo bola sepak Kelantan itu ternyata meninggalkan kesan apabila setakat ini Kafa masih lagi terkial-kial untuk menamakan bukan sahaja jurulatih baharu tetapi juga barisan pemain skuad The Red Warriors itu.

SIAPA CALON JURULATIH ?

PERKARA paling utama dalam pembentukan pasukan adalah pelantikan ketua jurulatih namun persoalannya siapa yang layak ketika Kafa dikatakan tidak bersedia mendapatkan ‘nama besar’ termasuk jurulatih luar negara akibat masalah bajet.

Kafa dikatakan lebih berminat menggunakan kepakaran anak jati negeri itu sendiri untuk mengendalikan pasukan berkenaan pada saingan musim depan dan sekiranya menjadi kenyataan ia merupakan pertama seumpamanya dilakukan persatuan itu sejak era transformasi, lapan tahun lalu.

Setakat ini, tiga jurulatih tempatan yang mempunyai kelayakan Lesen Kejurulatihan Kelas A adalah Zahasmi Ismail, Mohd Hashim Mustapha dan Kamaruddin Mohamad namun ketiga-tiga mereka berada situasi berbeza bersama pasukan masing-masing.

Zahasmi dikatakan menerima tawaran daripada Kafa untuk kembali melatih skuad pantai timur itu namun dia masih belum membuat keputusan berhubung masa depannya bersama negeri kelahirannya itu.

Jurulatih berusia 49 tahun itu masih mempunyai kontrak bersama kelab bola sepak Kementerian Kewangan (MOF FC) sehingga akhir bulan ini selain dikhabarkan turut mendapat kontrak lanjutan daripada pengurusan kelab itu untuk kekal melatih pasukan itu bagi tempoh semusim lagi.

Sementara itu, kejayaan Mohd Hashim membawa skuad Piala Presiden Kelantan menjuarai pertandingan pada musim ini memungkinkan dia untuk terus diberi kepercayaan sekali lagi mengemudi skuad bawah 21 tahun itu, pada musim depan.  

Dalam pada itu, Kamaruddin hampir pasti terkeluar daripada senarai setelah khidmatnya ditagih majikannya, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar raya Islam (MPKB-BRI) untuk membimbing kelab itu bersaing pada penampilan kedua mereka dalam pertandingan Piala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim 2017.

SKUAD WAJAH BAHARU

KELANTAN dijangka mempertaruhkan gabungan pemain sedia ada dengan muka baharu daripada skuad Piala Presiden dalam pembentukan pasukan untuk mengharungi saingan lebih kompetitif pada musim depan.

Penghijrahan Wan Zack Haikal Wan Noor ke Felda United FC, Mohd Noor Hazrul Mustafa dan Mohd Faizal Abu Bakar (Negeri Sembilan), Abdul Manaf Mamat (Kuala Lumpur) selain beberapa bintang lagi yang belum disahkan menyaksikan skuad itu bakal tampil serba baharu untuk bersaing dengan kuasa besar seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor dan Kedah.

Kekosongan yang ditinggalkan itu hampir pasti diisi pemain Piala Presiden seperti Mohd Faris Shah Rosli, Mohd Azwan Aripin, Mohd Syafiq Abd Rahman serta Mohd Nasharizam Abd Rashid selain muka lama seperti Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi dan Mohd Amir Zikir Mohd Faudzi.

Pada masa sama, tonggak senior seperti kapten, Mohd Badhri Radzi, Khairul Fahmi Che Mat, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Norhafiz Zamani Misbah dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim turut dikekalkan dan berada dalam senarai 22 pemain ketika ini.  Mengenai kuota awang import, hanya pemain Senegal, Morgaro Gomis dikekalkan kerana masih mempunyai kontrak sehingga akhir musim depan namun tiada lagi kelibat Jonathan McKain, Blazhe Ilijoski dan Wander Luiz Bitencourt Junior bersama pasukan itu.