BIARPUN aksi berdepan ATM bagi aksi terakhir Kumpulan B Piala Malaysia musim ini hanyalah satu perlawanan pelengkap jadual musim ini, namun kesebelasan Perak tetap ditagih mempamerkan aksi terbaik masing-masing demi menamatkan saingan musim ini dengan nota kejayaan.

Ate apa idaknya yeop, kegagalan melepasi aksi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia buat ke sekian kalinya, jelas satu pencapaian paling mengecewakan buat Perak musim ini.

Setelah beraksi cemerlang pada peringkat awal saingan bagi Liga Super musim ini, skuad The Bos Gaurus itu bagaikan ‘kehilangan arah’ musim hingga menghasilkan deretan kekalahan pada penghujung musim.

Justeru tidak hairanlah, sejak undian bagi saingan Piala Malaysia dibuat, penyokong seakan sudah boleh menduga ‘hala tuju’ skuad The Bos Gaurus itu dalam saingan Piala Malaysia kali ini.

Diundi bersama juara Liga Super 2015, JDT, Sarawak dan ATM bagi saingan peringkat kumpulan yang pada mulanya menjanjikan mimpi indah untuk lolos dalam kelompok lapan pasukan terbaik, bertukar menjadi ‘mimpi ngeri’ apabila menyaksikan skuad Seladang itu hanya mampu menamatkan saingan pada kedudukan tercorot dan hanya mengumpul tiga mata hasil satu kemenangan bagi saingan kali ini.

Setelah tewas 0-2 kepada JDT, ada aksi pembukaan di Larkin pada 11 September, kejayaan skuad Kejor Yeop Skor itu menewaskan Sarawak 1-0 di Ipoh, pada 19 September seakan mula ‘menerbitkan’ harapan untuk melakar kemenangan seterusnya.

Bagaimanapun, kekalahan 0-2 kepada ATM di gelanggang sendiri pada 26 September diikuti tumpas 0-1 kepada Sarawak di Kuching (17 Oktober), memulakan episod duka skuad Seladang dan akhirnya kekalahan 1-2 kepada JDT di Ipoh 5 November lalu, melengkapkan episod duka skuad The Bos Gaurus itu musim ini.

Apa pun kepada semua penyokong, kome diharap untuk terus memberi sokongan padu kepada pasukan pada aksi terakhir berdepan ATM, malam ini.

Walaupun perlawanan malam ini sudah tidak memberi apa-apa erti lagi, namun teruskanlah sokongan kome bagi membantu pasukan untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan musim ini kemenangan.

Kejor Yeop Skor!