PRESTASI merudum pasukan Terengganu  sepanjang mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, jelas memberi tamparan hebat buat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) apabila skuad Penyu terpaksa membuka lembaran baharu dalam kancah Liga Perdana musim depan.

Begitu pun, PBSNT yang kini diterajui Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman selaku pemangku presiden tidak menunggu lama dalam membuat percaturan untuk memulihkan kembali maruah pasukan Terengganu dengan mendapatkan khidmat ketua jurulatih berpengalaman Irfan Bakti Abu Salim.

Keputusan itu jelas menggembirakan penyokong setia skuad Penyu meskipun akur pasukan kesayangan mereka terpaksa ‘turun pangkat’ ke kancah Liga Perdana musim depan.

Malah kehadiran bekas pengendali Felda United itu dilihat tepat pada masanya untuk mengembalikan semula maruah pasukan Terengganu sebagaimana telah dibuktikan ketua jurulatih berusia 65 tahun itu ketika membantu skuad Penyu menjulang Piala FA buat julung kalinya pada 2011 dan muncul naib juara Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Irfan Bakti yang diberi kuasa mutlak dalam memilih pemain bagi membawa cabaran Terengganu musim depan, bagaimanapun berdepan sedikit kesukaran apabila sebahagian besar tonggak utama pasukan ketika ini sudah pun ‘angkat kaki’ .

Enggan terburu-buru

Sebaliknya, senario itu tidak memberi kebimbangan buat ketua jurulatih berpengalaman itu dalam memilih pemain dan mengakui ia perlu dilakukan berhati-hati agar kesilapan sama tidak berulang termasuklah khidmat pemain import pasukan.

Menurutnya, ketika ini dia dan pembantunya sedang mengenal pasti pemain tempatan yang akan beraksi dengan Terengganu musim 2017.

“Sememangnya ada sebahagian pemain pasukan yang akan dikekalkan dan ada beberapa pemain baharu yang kami rekrut nanti.

“Bagi pemilihan pemain import, saya tak mahu gopoh, saya tak nak terjadi seperti musim lalu yang mana pemilihan pemain import kurang berkesan. Apa yang boleh saya katakan hanya Issey Nakajima yang akan dikekalkan musim depan,” katanya.

Sasar satu trofi

Irfan Bakti yang kini masih bercuti di luar negara berkata, skuad Penyu akan memulakan latihan pra musim awal bulan depan dengan mengatur strategi yang lebih berkesan untuk pasukan.

Katanya, matlamat utamanya adalah untuk kembali membawa Terengganu bersaing di dalam Liga Super pada musim akan datang dan mengharapkan skuad baharunya itu lebih bersemangat untuk merealisasikan impian tersebut.

“Ini adalah sasaran pertama saya, bagaimanapun jika boleh mahu membawa sekurang-kurangnya satu piala ke Terengganu dan berharap ia mampu menjadi kenyataan.

“Apa pun saya harap barisan pemain yang akan terpilih bagi menyarung jersi Terengganu musim depan dapat memberikan komitmen terbaik mereka sepanjang musim sekali gus mengembalikan semula kegemilangan skuad Penyu sebagaimana sebelumnya,” katanya.

Pastinya, kehadiran semula Irfan Bakti dalam menerajui skuad Penyu musim depan bakal menjadi titik tolak buat kem Terengganu untuk memulakan episod baharu kancah bola sepak negara dalam memburu kejayaan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.