PASUKAN berstatus kelab T-Team mahu memulakan kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dengan langkah kanan sekali gus mengharapkan beraksi di gelanggang sendiri bakal menjadi faktor terbaik buat mereka dalam memburu tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Sarawak pada aksi pembuka tirai saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Malah berdasarkan rekod terdahulu sejak 2014, kelebihan nyata memihak kepada T-Team apabila meraih empat kemenangan daripada enam perlawanan dengan masing-masing dua kemenangan di gelanggang sendiri dan tempat lawan berbanding skuad Bujang Senang.

Begitu pun, ia bukan alasan buat skuad kendalian Rahmad Darmawan itu untuk tidak mengambil mudah kemampuan kem Sarawak yang dilihat telah memperkuatkan barisan pemainnya dalam mengharungi saingan lebih mencabar musim ini.

Jangan terlalu yakin

KETUA jurulatih kelahiran Indonesia itu menuntut pemainnya agar tidak terlalu yakin dengan rekod semasa pertemuan terbabit, sebaliknya kesebelasan utama yang diturunkan nanti perlu bekerja lebih keras dalam memastikan mereka tidak tercicir mata pada pertemuan tersebut.

Menurutnya, selepas mengharungi aksi pra musim sejak lebih sebulan lalu termasuk aksi persahabatan antarabangsa bersama naib juara Piala Singapura, Tempines Rovers  FC Isnin lalu, skuad kendaliannya itu kini sudah bersedia seratus peratus untuk berdepan kempen Liga-M musim ini termasuk melayan kunjungan Bujang Senang malam nanti.

“Walaupun kita dibarisi ramai pemain muda, namun mereka telah menunjukkan prestasi yang cukup positif dalam memperkuatkan pasukan musim ini.

“Malah semangat kekeluargaan yang diterap dalam kalangan pemain juga berjaya membentuk keserasian lebih jitu dengan bermain sebagai sebuah pasukan dan ia menjadi sebahagian daripada kekuatan kami secara psikologinya,” katanya.

Senjata baharu

MENGULAS lanjut persiapan pasukan pada pertemuan itu nanti, Rahmad turut melahirkan keyakinan selain khidmat pemain tempatan dan import musim lalu, kehadiran dua awang import baharu pasukan, Farhod Tadjiev serta Mamadou Samassa mampu menambah bisa jentera serangan skuad T-Team.

Katanya, ketajaman penyudah dimiliki Farhod Tadjiyev bakal menjadi sandaran terbaik buat pasukan dalam merobek gawang kem Bujang Senang untuk mengutip tiga mata pertama pada aksi saingan Liga Super malam nanti.

“Sebagai bekas penyerang yang berpengalaman beraksi bersama pasukan ini, Farhod ternyata tidak memerlukan banyak masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan kami, malah telah menunjukkan prestasi membanggakan selain cepat serasi bersama pemain-pemain lain dalam masa yang singkat.

“Begitu juga dengan kelebihan dimiliki Mamadou Samassa yang mampu beraksi di dua posisi tengah dan serangan dilihat bakal mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan nanti,” katanya.

Selepas mengharungi musim yang disifatkan cemerlang musim lalu, bekas pengendali skuad remaja Indonesia itu jelas bersemangat mahu mencapai keputusan lebih baik dalam saingan Liga- M musim ini.

Mengakui bakal berdepan tekanan lebih hebat, Rahmad menyifatkan ia adalah asam garam yang perlu ada dalam bola sepak agar sentiasa berusaha dengan lebih keras lagi dalam menampilkan aksi meyakinkan setiap kali berada di atas padang.

“Bagi saya , tekanan itu perlu ada supaya saya tahu sasaran setiap musim terutamanya dalam Liga Super yang menyaksikan banyak pasukan melakukan persediaan rapi termasuklah pada aksi pembuka tirai bertemu Sarawak nanti.

“Jadi perlawanan esok (malam ini) bukan sesuatu yang mudah kerana saya percaya Sarawak juga telah membuat persiapan rapi, tetapi pemain perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan menghadiahkan tiga mata kepada  penyokong setia T-Team,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERKARA ini pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW ketika Baginda SAW mengimamkan solat. Diriwayatkan oleh Rifa'ah bin Rafi' Bin 'Afra'.
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
  • BERMATLAMATKAN pengurusan sebuah kelab bola sepak telus, profesional dan mesra penyokong, tujuh peminat bola sepak telag bersatu hati menubuhkan kelab Bola Sepak Shah Alam Antlers.
  • LALUAN sukar itu gambaran bakal ditempuhi bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam usaha menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada pemilihan 25 Mac nanti.