BERBAKI satu sahaja lagi perlawanan Liga Super 2016 yang perlu ditempuh oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum melakar sejarah sebagai pasukan memiliki rekod tanpa kalah semusim.

Skuad Harimau Selatan sudah pun menjadi pasukan pertama yang memenangi kejuaraan Liga Super secara hatrik.

Kini pasukan bimbingan Mario Gomez bakal berdepan dengan cabaran The Red Giants di Stadium Shah Alam, malam ini bagi melengkapkan jadual perlawanan liga.

Sudah tentu pasukan Selangor akan berjuang habis-habisan di tempat sendiri untuk menang ke atas JDT, dan seterusnya menggagalkan usaha skuad Harimau Selatan memenangi perlawanan.

Manakala JDT pula, pasti mahu meratah seterusnya menjadikan The Red Giants sebagai ‘mangsa’ susulan kekalahan kepada JSW Bengaluru FC dalam pusingan separuh akhir Piala AFC.

Melihat kepada perlawanan menentang wakil dari India tempoh hari, skuad Harimau Selatan gagal mempamerkan aksi sebenar untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Tanpa kelibat Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz di bahagian serangan, JDT dilihat tempang malah sukar  memberi tentangan hebat bagi menumpaskan JSW Bengaluru FC di gelanggang lawan.

Kelibat Safee Sali yang jarang diturunkan ketika perlawanan berkenaan juga seakan tidak memberi kesan sepanjang 90 minit permainan, meskipun menjadi penyebab kepada hadirnya gol tunggal JDT dalam perlawanan itu.

PERBAIKI KELEMAHAN

Justeru, Mario Gomez perlu mencari ramuan terbaik untuk memperbaiki kelemahan pasukannya.

Menjelang pertemuan dengan Selangor, pengendali dari Argentina itu sudah pasti akan menurunkan barisan terbaiknya untuk melakar kemenangan di tempat lawan.

Gandingan duo Argentina iaitu Lucero dan Diaz hampir pasti diturunkan dalam perlawanan ini, dengan beberapa pemain lain seperti Azinee Taib, Azammuddin Akil, Safiq Rahim dan Hariss Harun.

Sementara back four JDT pula akan terus mempertaruhkan Marcos Antonio, Aidil Zafuan, S Kunanlan serta Fazly Mazlan bagi mengekang asakan lawan.

Tugas getir terarah kepada back four skuad Harimau Selatan untuk mematahkan kelincahan Andik Vermansyah di bahagian sayap dan menghalang setiap percubaan Ahmad Hazwan Bakri.

Apa yang penting, kesemua pemain JDT perlu memberikan tumpuan penuh sepanjang perlawanan berlangsung dan pantas mencari jaringan awal terlebih dahulu jika mahu menang ke atas Selangor.

TAGIH

KEMAMPUAN serangan Diaz dan Lucero di dalam kotak penalti amat ditagih untuk merobek gawang The Red Giants. Safiq juga perlu sama membantu duo import Argentina ini untuk menghasilkan jaringan.

Malah Lucero dan Diaz juga memasang niat untuk mencari jaringan bagi menambah jumlah gol peribadi sekali gus diumumkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super.

Kekalahan di Bangalore, India tempoh hari wajar dijadikan pengajaran dan azimat untuk skuad Harimau Selatan datang ke Shah Alam dengan semangat juang yang tinggi.

Kini tinggal satu lagi perlawanan buat JDT untuk bekerja keras bagi mencipta sejarah sebagai pasukan atau kelab yang memiliki rekod tanpa kalah dalam Liga Super.

Nothing to lose. Sasaran itu mampu dicapai jika pasukan bimbingan Mario Gomez mempamerkan aksi permainan bergaya seperti yang selalu dilakukan di pentas domestik mahupun antarabangsa.

Usah difikirkan kritikan umum mengenai kekalahan JDT dalam saingan separuh akhir Piala AFC 2016. Ini kerana JDT itu sendiri sudah menunjukkan kelas tersendiri dalam bola sepak Tanah Air.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR Darul Ta’zim II (JDT II) mendapatkan khidmat pemain muda dari Brazil, Rafael De Jessus Bonfim untuk mengharungi baki perlawanan Liga Malaysia musim ini.
  • JUARA Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali turun ke padang bagi memulakan sesi latihan pasukan di Padang Seri Gelam, di sini, 19 Jun lalu.
  • JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menamatkan pusingan pertama saingan Liga Super 2016 dengan menduduki kedudukan teratas liga. Menariknya, sepanjang 12 perlawanan, juara Liga Super 2014/2015 ini belum pernah tewas dengan mana-mana pasukan, sebaliknya mengumpul 30 mata hasil sembilan kemenangan dan tiga seri.
  • PEMBANGUNAN bola sepak Johor terus melangkah jauh dengan visi dan idea Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim direalisasikan satu persatu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.