WILAYAH Segamat mahu menebus kehampaan dua tahun lalu, manakala Wilayah Terengganu semakin membara untuk terus menjadi penumbang gergasi apabila kedua-duanya bertembung dalam perlawanan akhir edisi ketiga bola sepak Liga Felda 2016, malam ini.

Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang dengan padang tiruan buat kali keduanya tahun ini selepas 4 Februari lalu, akan menyaksikan perebutan Piala Pengerusi Felda ini sambil ganjaran lumayan menanti pemiliknya, RM30,000 manakala RM15,000 buat naib juara.

Segamat belum pernah kalah sepanjang lima perlawanan Kumpulan A, sekali gus bergelar juara Piala Pengarah Besar Felda 2016, selain mengecewakan naib juara 2015-16, Gua Musang di Stadium Majlis Perbandaran Kluang untuk mara ke perlawanan akhir.

Terengganu pula mencipta kejutan dengan menumbangkan juara Piala Pengerusi Felda dua kali berturut-turut, Jengka 3-1 ketika separuh akhir di Kuala Berang itu nyaris dimenangi pelawat, selain merangkul Piala Komuniti Felda 2016.

Namun kelebihan seperti berpihak kepada wilayah selatan Felda itu memandangkan mereka bakal turun dengan kesebelasan terkuat sedangkan lawan dari pantai timur kehilangan penyerang utamanya, Mohammad Azezy Azli yang digantung perlawanan.

Pemain Segamat, Mohamad Fahian Roslan berkata: “kami mahu menebus final 2014 apabila kalah penentuan penalti 2-4 selepas terikat 2-2. Saya yang jaringkan kedua-dua gol itu malangnya gagal sudahkan penalti kemudiannya.

“Kami kini dalam keadaan bersedia lebih 100 peratus untuk menjulang trofi ini buat julung kalinya,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan akhir di Menara Felda, Kuala Lumpur, Selasa lalu yang turut dihadiri Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Fahian yang turut mempunyai dua saudara dalam barisan utama Segamat iaitu penjaga gol, Mohd Saiful Roslan dan bek tengah merangkap kapten, Mohd Rizuwan Roslan yang merupakan anak peneroka Felda Ulu Belitong.

Dia turut mendahului carta penjaring terbanyak Liga Felda 2016 dengan mengumpul lapan gol, namun disaingi rapat oleh pemain Terengganu, Wan Mohammad Azwan (tujuh gol).

Kapten Wilayah Terengganu, Syed Ridzuan Syed Abdullah berkata: "final ini pasti menarik kerana kedua-dua pasukan belum pernah bertemu walaupun dalam dua edisi sebelum ini. Ketiadaan Azezy turut akan terasa tetapi ada pengganti yang boleh jalankan tanggungjawab sepertinya.”

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • NAMANYA mula meniti dibibir peminat sukan permotoran khusunya jentera dua roda. Melakar sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama apabila dinobatkan juara pada Kejohanan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi kategori Moto3 di Argentina, April lalu, Khairul Idham Pawi kini semakin bersemangat memburu kejayaan.
  • MUNGKINKAH akan wujud dua kumpulan dalam pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017/2021 yang dijadualkan 25 Mac nanti.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.