BIARPUN berdepan dengan kemelut Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang belum berkesudahan, pengendali baharu Selangor, P Maniam tetap bertekad membawa The Red Giants sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima terbaik Liga Super musim ini.

Menyedari pasukannya dilihat antara pasukan mentah dengan ramai pemain muda diserap, jelas Maniam ia bukan masalah apatah lagi dia melihat potensi besar bakal dipamerkan pemainnya dalam saingan kali ini.

“Memang kita kehilangan ramai tonggak utama yang berhijrah ke JDT dan Perak namun, sebagai sebuah pasukan bola sepak, kami perlu menerima keadaan itu.

“Nama Selangor sinonim dengan keluar masuk pemain, jadi bagi kami, ia bukan masalah besar,” katanya.

Kata Maniam lagi, beberapa pemain muda yang telah diserap masuk juga menunjukkan komitmen tinggi selain sentiasa bersedia memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan persahabatan sebelum ini.

Malah, dia yakin dengan gandingan pemain baru dan senior, Gergasi Merah musim ini akan lebih segar dan mempunyai lebih tenaga di setiap bahagian.

MASIH TERCARI AWANG IMPORT

BAGAIMANAPUN, masih ada perkara yang membelenggu fikiran Maniam apabila sukar mencari pemain import yang betul-betul berkaliber.

Setakat ini, hanya dua import sah bakal bermain dengan Selangor iaitu Ugochukwu Ukah dan Andik Vermasnyah manakala dua lagi tempat masih belum dapat diisi.

“Dua tempat itu sangat kritikal kerana kita mencari penyerang yang betul-betul boleh menjaringkan gol.

“Kita sedang menguji beberapa pemain antaranya bekas pemain Selangor, Francis Forkey Doe dan pemain dari Poland dan seorang dari Afrika.

“Mereka akan diuji dalam tempoh seminggu ini dan keputusan siapa import yang kita bakal ambil bergantung kepada prestasi mereka dalam sesi latihan dan perlawanan persahabatan,” katanya.

Jelas Maniam, jika masih gagal mencari penyerang tersebut, Selangor mempunyai pilihan untuk membawa masuk kembali bekas pemainnya dahulu iaitu Leandro dos Santos.

“Leandro merupakan antara pilihan yang kita ada sekiranya gagal cari import lain kerana kita telah ada data keupayaannya untuk bermain bersama Selangor,” katanya.

MAIN UNTUK PENYOKONG

PENGENDALI berusia 48 tahun itu juga menggesa pemain Red Giants supaya bermain dengan sepenuh hati selain tidak menghampakan penyokong setia pasukan itu.

Menurutnya, penyokong sentiasa berada di belakang Selangor biarpun pasukan itu sedang dilanda kemelut dan ia perlu dibalas dengan aksi terbaik oleh pemain.

“Walaupun pasukan kali ini agak serba kekurangan, tetapi ia bukan alasan untuk pemain bermain dengan hambar. Mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab iaitu bermain untuk negeri Selangor sendiri dan penyokong.

“Dalam masa sama, saya melihat pasukan ini sebagai pasukan masa depan yang mampu menyinar. Mereka mempunyai peluang cerah untuk menjadi bintang dalam Liga Malaysia,” katanya.